Kes tipu jual kereta dalam talian meningkat
KUALA LUMPUR - Jenayah melibatkan penipuan penjualan kereta dalam talian mencatatkan peningkatan dengan melibatkan kerugian sebanyak RM5,424,828.67 bermula pada Januari sehingga Mei 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, penawaran harga yang lebih murah daripada pasaran dan kemudahan untuk mendapatkan akses kepada jumlah barangan yang lebih banyak menjadikan aplikasi urus niaga dalam talian atau e-dagang menjadi pilihan.
"Barangan yang diniagakan tidak lagi terhad kepada barangan asas dan kecil namun turut merangkumi barangan yang lebih besar seperti kenderaan.
"Sehingga Mei 2021sebanyak 461 kes telah dicatatkan dengan kerugian RM5,424,828.67 dan berlaku peningkatan sebanyak 94.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu (Januari hingga Mei) dengan kerugian RM1,399,926.89," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, pada tahun 2019, sejumlah 552 kes telah dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM3,204,360.71.
"Jumlah ini telah meningkat kepada 678 kes bersamaan 22.8 peratus pada tahun 2020 dengan kerugian sebanyak RM5,926,165.05," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati harga yang ditawarkan adalah lebih murah daripada pasaran semasa.
"Modus operandi yang sering digunakan adalah dengan menawarkan harga kenderaan import terpakai yang murah kononnya dari Singapura, Thailand atau Langkawi.
"Ia menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan," katanya.
Tambahnya, mangsa yang terpedaya akan memasukkan wang ke akaun keldai.
"Wang tersebut kononnya bagi pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, cukai kastam dan sebagainya, tapi akhirnya kereta tersebut tidak diterima oleh mangsa seperti dijanjikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!