Hanya mampu lihat perahu berpusing sebelum suami lemas

Mangsa dibawa ke tepi pantai sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok.
Mangsa dibawa ke tepi pantai sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang wanita hanya mampu melihat perahu suaminya berpusing di tengah laut sebelum terjatuh sebelum mangsa ditemui lemas dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok, pada Khamis.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa Lee Yong Sit, 55, tidak sempat menyelamatkan diri selepas terjatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan pulang mengambil pukat.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa yang berusia 52 tahun.

"Pengadu memaklumkan bahawa mangsa bersama sepupunya turun ke laut untuk mengambil pukat dan ketika dalam perjalanan pulang, pengadu yang berada di tepi pantai ternampak perahu mereka berpusing di tengah laut.

"Perahu terbabit senget sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan mereka berusaha untuk berenang ke tepi pantai.

"Bagaimanapun, mangsa tidak berjaya diselamatkan manakala seorang lagi mangsa sempat diselamatkan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Yusoff Zaki berkata, pengadu turut memaklumkan suaminya disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans kira-kira jam 5.30 petang.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk tujuan saringan Covid-19 sebelum dibedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!