Indeks nilai eksport, import Malaysia positif

Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada April 2021. - Gambar hiasan Foto 123RF
Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada April 2021. - Gambar hiasan Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada April 2021, masing-masing meningkat 1.7 peratus dan 0.8 peratus bulan ke bulan walaupun dalam ketidaktentuan aktiviti ekonomi.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan indeks nilai seunit eksport didorong terutamanya oleh pertumbuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+6.1 peratus), minyak galian (+4.7 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.6 peratus).

Sebaliknya, indeks volum eksport menunjukkan penurunan 1.1 peratus pada bulan yang sama.

"Ini terutamanya disebabkan oleh kejatuhan indeks bahan kimia (-12.5 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.2 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (- 6.0 peratus)," katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri bagi bulan April 2021 hari ini.

Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim merekodkan pertumbuhan kecil kepada 163.6 mata daripada 162.2 mata sebelumnya.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 5.8 peratus dan 54 peratus.

Sementara itu, Mohd Uzir menyatakan kenaikan dalam nilai seunit import pada April 2021 disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak galian (+2.8 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+2.4 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+0.7 peratus).

Indeks volum import turut mengukuh 4.6 peratus pada April 2021 berbanding bulan sebelum, yang disumbangkan oleh pengembangan indeks minyak galian (+57.5 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (+6.4 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+5.2 peratus).

Artikel Berkaitan:

Indeks volum import pelarasan bermusim pada April 2021 mengembang 2.2 peratus daripada 162.4 mata kepada 166.0 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 1.5 peratus dan 22.6 peratus.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 0.9 peratus bulan ke bulan kepada 103.7 mata pada April 2021 manakala berasaskan tahun ke tahun, ia kekal positif pada 4.3 peratus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!