Remaja 16 tahun disuntik vaksin Covid-19 Moderna

Jawatankuasa Pakar Covid-19 Singapura tidak menjangkakan timbul sebarang isu keselamatan ekoran seorang remaja 16 tahun disuntik dengan vaksin Moderna.
Jawatankuasa Pakar Covid-19 Singapura tidak menjangkakan timbul sebarang isu keselamatan ekoran seorang remaja 16 tahun disuntik dengan vaksin Moderna.
A
A
A

SINGAPURA - Jawatankuasa Pakar Covid-19 Singapura tidak menjangkakan timbul sebarang isu keselamatan ekoran seorang remaja 16 tahun disuntik dengan vaksin Moderna, meskipun vaksin itu sebelum ini diluluskan untuk diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis, jawatankuasa itu berkata, pihaknya telah meneliti insiden berkenaan dan pasukan perubatan akan memberi khidmat nasihat cara terbaik untuk remaja lelaki itu melengkapkan vaksinnya.

Menurut jawatankuasa itu data percubaan yang melibatkan lebih 3,700 remaja berusia 12 hingga 17 tahun menunjukkan vaksin Moderna selamat serta berkesan dan tidak timbul isu keselamatan.

"Sebahagian besar kesan suntikan adalah ringan atau sederhana, dan kesan biasa seperti sakit di tempat suntikan dan sakit kepala, otot, keletihan serta menggigil," katanya.

Pihaknya akan terus memantau perkembangan dan bukti global mengenai vaksin Covid-19, khususnya data berkaitan keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin kepada lebih banyak subkelompok populasi, selepas lebih ramai orang divaksin di peringkat global dan tempatan.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama dikeluarkan pada Jumaat, Kementerian Kesihatan dan Pendidikan berkata, remaja berkenaan diberikan dos pertama vaksin Moderna di Pusat Vaksinasi Kelab Komuniti Kolam Ayer pada Khamis.

"Kesilapan itu disedari ketika petugas pusat vaksinasi mengenal pasti remaja tersebut berusia di bawah 18 tahun ketika berada di pusat pemerhatian pasca vaksinasi.

"Sebagai langkah pencegahan tambahan, remaja itu diletakkan di bawah pemerhatian selama lebih 50 minit, dan berada dalam keadaan baik,” kata kementerian.

Artikel Berkaitan:

Siasatan mereka mendapati terdapat kesilapan mengisi tarikh lahir remaja itu ketika proses membuat janji temu vaksinasi.

“Ia menyebabkan maklumat usia remaja itu didaftarkan sebagai 18 tahun ke atas, petugas pusat vaksinasi kemudian gagal mengesahkan usianya yang sebenar ketika pendaftaran," kata kementerian.

Kenyataan itu menyatakan keselamatan penerima vaksin adalah menjadi keutamaan dan kedua-dua kementerian memandang serius kejadian ini.

"Kami mohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang ditimbulkan, dan telah menghubungi ibu bapa remaja berkenaan untuk memberikan penjelasan," kata kementerian.

Kementerian Kesihatan akan membuat semakan menyeluruh proses di pusat vaksinasi untuk mengelak kejadian sama berulang.

"Ini termasuk memantapkan proses pendaftaran dalam talian kami untuk memastikan individu membuat janji temu di pusat vaksinasi sesuai berdasarkan kelayakan mereka, dan juga menyediakan protokol lebih ketat di laman vaksinasi kami untuk mengesahkan kelayakan," kata kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!