Kekangan warga emas dapatkan suntikan vaksin
JITRA - Tidak semua warga emas mempunyai keupayaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), apatah lagi bagi yang terlantar akibat sakit kronik atau sudah terlalu uzur kerana dimamah usia.
Itulah antara kekangan yang dihadapi oleh segelintir warga emas yang sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. Apa yang jelas, bukan mereka menolak, sebaliknya sukar untuk 'bergerak'.
"Tokwan dah daftar nama dekat JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), la ni dok tunggu depa panggil (sekarang tengah tunggu mereka panggil), tapi tok sakit kaki macam mana nak pergi pusat (PPV)," kata Shaari Sabu, 92, kepada Bernama di rumahnya di Kampung Tanah Merah Dalam dekat sini, pada Jumaat.
Shaari memberitahu, dia mengalami kesukaran untuk keluar dari kampung dan pergi ke PPV kerana tidak boleh berdiri lama ekoran mengalami penyakit gout. Penyakit tersebut mengakibatkan kakinya sentiasa membengkak, namun itu bukan alasan untuk menolak vaksin.
Mesra disapa sebagai Tokwan, warga emas itu menjelaskan, dia tahu mengenai vaksin daripada JPKK dan cucunya yang sering memberikan penerangan tentang kepentingan untuk mendapatkan dua dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.
Selain Shaari, isterinya, Ropeah Man, 86, juga sukar untuk keluar kerana sudah lama tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot serta perlu dibantu untuk bergerak walaupun di dalam rumah.
Berkongsi masalah sama adalah jiran mereka iaitu Siti Noraini Yop, 50. Siti Noraini yang sudah setahun terlantar di katil selepas diserang strok akibat hipertensi.
Ibu tunggal yang kematian suami itu walaupun belum mencapai usia warga emas, sudah hilang upaya. Keadaannya menjadi lebih sulit apabila keluarganya tergolong dalam kategori kurang berkemampuan dan terpaksa bergantung kepada bantuan saudara-mara.
Sementara itu, JPKK Kampung Tanah Merah Azman Abu Hassan berkata, pihaknya sudah membangkitkan isu mobiliti golongan berkenaan kepada pihak pegawai daerah dan sedang mencari jalan untuk mempermudahkan urusan mereka untuk mendapat vaksin.
"Alhamdulillah, pihak Pejabat Daerah Kubang Pasu dan pihak hospital sangat mengambil berat tentang isu ini dan saya dimaklumkan mungkin mereka semua boleh mendapat suntikan vaksin di rumah, cuma kita masih tunggu macam mana susun atur di pihak Kementerian Kesihatan.
"Saya sudah mendapatkan nama-nama mereka yang terlantar dan bermasalah untuk ke PPV dan kita akan cuba sebaik mungkin untuk pastikan mereka juga dapat menerima suntikan vaksin," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr. Mohd. Fikri Ujang ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp memberitahu, jumlah kehadiran penerima suntikan vaksin di negeri ini telah meningkat begitu ketara.
"Pada hari suntikan, semua vaksin yang dibekalkan 100 peratus digunakan, ini menunjukkan strategi pemberian janji temu dan susulan bagi menentukan kehadiran, dan menyediakan senarai gantian awal pada mereka yang tidak dapat hadir atas pelbagai sebab, membolehkan bilangan yang disuntik mencapai bilangan ditetapkan," katanya.
Beliau juga menyarankan orang ramai terutama warga emas yang mempunyai masalah seperti sukar ke PPV, untuk memaklumkan perkara itu kepada bilik gerakan immunisasi daerah atau pasukan petugas Imunisasi Covid-19 di talian 04-702 6888. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!