Lelaki Bangladesh jual borang rentas negeri palsu berharga RM30

A Asmadi (kanan) menunjukkan borang rentas negeri palsu yang digunakan lima warga Indonesia dalam pemeriksaan SJR di Ipoh.
A Asmadi (kanan) menunjukkan borang rentas negeri palsu yang digunakan lima warga Indonesia dalam pemeriksaan SJR di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Lima lelaki warga Indonesia ditahan di sekatan jalan raya di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di sini, pada Isnin kerana mengemukakan borang rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM30.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek berusia 24 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.45 malam dalam satu pemeriksaan melibatkan sebuah bas persiaran.

"Pemeriksaan mendapati lima suspek itu memiliki borang rentas negeri palsu serta tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

"Mereka dalam perjalanan dari Sungai Rengit, Johor untuk ke Kedah atas alasan kerja. Mereka mendedahkan memperoleh surat itu daripada rakannya di Johor," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan maklumat itu Polis Daerah Kota Tinggi, Johor berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun.

"Suspek disyaki membuat salinan borang rentas negeri palsu ini dan menjual kepada rakan-rakan warga asing lain.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 22(d) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1993 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63," katanya.

Pada masa sama, A Asmadi berkata, sebanyak 369 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Kinta sejak 22 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan 333 individu, 21 premis dan 15 di sekatan jalan raya.

"Kes-kes jenayah juga menurun sebanyak 24 peratus berbanding dua minggu sebelum PKPD. Kebanyakan kes yang menurun adalah kes jenayah curi kenderaan dan gaduh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!