Bertambah yakin selepas ambil suntikan vaksin
KOTA BHARU - Pelbagai dakyah, dakwaan serta berita palsu tular di pelbagai platform media sosial, untuk menghasut rakyat supaya mengelak daripada menerima vaksin Covid-19.
Bagaimanapun bagi petugas barisan hadapan khususnya petugas perubatan, sejak awal lagi mengetahui semua dakyah golongan antivaksin adalah palsu, dan mempunyai pandangan tersendiri mengenai suntikan vaksin ini.
Seorang doktor bedah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Mohd Zaim Zakaria, 32, berkata, dua dos suntikan vaksin Covid-19 yang diterimanya, menambahkan keyakinannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai salah seorang petugas barisan hadapan.
Bercakap kepada Bernama, Dr Mohd Zaim berkata, bekerja di sektor kesihatan mendedahkan dirinya dengan risiko tinggi jangkitan wabak tersebut, namun bersyukur kerana menjadi antara yang terawal mendapatkan vaksin.
“Saya lebih yakin untuk menjalankan tugas harian dan dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada orang terdekat.
“Biarpun sudah mendapatkan suntikan vaksin, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pensanitasi tangan, serta amalan penjarakan fizikal masih menjadi rutin wajib, yang perlu diamalkan,” katanya yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech Mac lalu.
Ketika ditanya sama ada kesan sampingan selepas mengambil vaksin Covid-19 seperti yang didakwa oleh golongan antivaksin, Dr Mohd Zaim Zakaria menolak semua dakwaan tersebut.
“Sudah tiga bulan saya divaksin tapi (keadaan kesihatan) sama sahaja. Jadi saya mohon selidik dahulu kesahihan fakta sebelum kongsi. Ramai warga emas di luar sana takut divaksin kerana fakta yang tidak sahih dan ditokok tambah,” tambahnya.
Seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, Dr Nur Izzati Zakaria, 25, juga kesal dengan tindakan sesetengah individu dan golongan antivaksin menyebarkan berita palsu, seterusnya mengganggu perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Kami sejujurnya agak kecewa dengan adanya pihak sebegini. Ia mengganggu proses untuk merealisasikan projek murni ini,” katanya.
Dr Nur Izzati berkata, beliau yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech turut berasa lebih yakin untuk meneruskan khidmat kepada orang ramai, setelah menerima suntikan vaksin.
“Setelah menerima suntikan vaksin pada Mac lalu sehingga sekarang, keadaan masih sama. Saya lebih yakin dan masih boleh menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, tiada guna kerajaan mengeluarkan peruntukan besar untuk membeli vaksin sekiranya rakyat sendiri masih enggan memanfaatkannya sedangkan kes jangkitan Covid-19 dan kematian meningkat setiap hari.
Beliau berkata, rakyat seharusnya berfikiran rasional tentang pengambilan vaksin dan kelompok tertentu diminta berhenti memberi gambaran tidak betul mengenai vaksin kerana ada yang percaya kepada mitos itu dan terpengaruh dengan ulasan 'pakar' kesihatan tidak bertauliah ini.
“Rakyat perlu melihat daripada sudut positif, bukannya terus menghukum dengan mengaitkan kesan vaksin dengan kematian.
“Begitu juga Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu, mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Justeru, Mohd Fared berkata, rakyat tidak perlu terus percaya dengan kelompok antivaksin itu yang menyampaikan dakyah berhubung pengambilan vaksin dan tentunya kerajaan telah menjalankan pelbagai kajian mengenai keselamatannya sebelum diberikan kepada rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!