Tujuh individu dikompaun naik kenderaan lebih penumpang
ISKANDAR PUTERI - Tujuh individu termasuk seorang suri rumah dikompaun RM2,000 setiap seorang selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di kawasan Jalan Persisiran Sungai Danga dekat Selesa Jaya, di sini pada Khamis susulan menaiki kenderaan melebihi had jumlah dibenarkan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 dan 26 tahun itu ditahan ketika menaiki kenderaan masing-masing, kira-kira jam 6 petang.
"Dua kenderaan ditahan secara berasingan oleh polis yang sedang bertugas dalam sekatan jalan raya di kawasan Jalan Pesisiran Sungai Danga.
"Krtika pemeriksaan lanjut, kita dapati kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.
"Mereka juga gagal memberi keterangan munasabah berkaitan tujuan pergerakan iaitu memberi alasan ingin membeli makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tujuh individu berkenaan dikenakan kompaun RM2,000 seorang dengan nilai keseluruhan berjumlah RM14,000 kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!