Majikan boleh emel borang cukai pekerja warga asing: LHDN
PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan kelonggaran kepada majikan untuk mengemukakan borang kertas berkaitan cukai pendapatan pekerja warga asing mereka melalui emel selain serahan tangan dan pos hingga 31 Disember ini.
Menurut LHDN, borang-borang tersebut ialah borang CP21 (pemberitahuan pekerja meninggalkan Malaysia), CP22 (pemberitahuan pekerja baharu), CP22A (pemberitahuan pemberhentian pekerja (termasuk pemberhentian disebabkan kematian) bagi pekerja swasta) dan CP22B (pemberitahuan pemberhentian pekerja (termasuk pemberhentian disebabkan kematian) bagi pekerja sektor awam.
“Menyedari kesukaran para majikan memenuhi tanggungjawab dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih belum reda, LHDN bersetuju memberikan kelonggaran tersebut kepada majikan,” menurut LHDN dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, berkuat kuasa 1 Januari lepas, majikan dikehendaki menyerahkan borang-borang tersebut secara dalam talian e-SPC, serahan tangan dan pos selaras dengan pindaan Subseksyen 83 (2), (3) dan (4) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
LHDN berkata, bermula 1 Januari 2022, pihaknya akan melaksanakan semula kaedah serahan borang-borang tersebut mengikut pindaan akta yang ditetapkan sebelum ini.
“Bermula 1 Januari 2022, majikan hendaklah mengemukakan semula borang-borang tersebut mengikut kaedah yang ditetapkan iaitu menggunakan format sendiri atau versi selain borang yang ditetapkan di bawah Seksyen 152 ACP 1967 dan melalui emel serta faksimili,” kata LHDN.
Kelewatan atau kegagalan mengemukakan Borang CP21, CP22, CP22A dan CP22B merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda minimum RM200 hingga maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Subseksyen 120(1) ACP 1967, katanya.
Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai diminta menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!