Kilang kayu dikompaun RM10,000 tipu operasi
SUNGAI SIPUT - Sebuah kilang kayu dikompaun RM10,000 selepas didapati menipu dengan mengisytiharkan operasi kilangnya sebagai perniagaan perkakasan dalam satu pemeriksaan di Kawasan Perindustrian Sungai Siput di sini pada Jumaat.
Kesalahan itu terbongkar dalam operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis bersama pasukan Jabatan Perhutanan Daerah Kuala Kangsar kira-kira jam 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, semakan mendapati kilang itu beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi memalsukan jenis operasi perniagaan.
Menurutnya, pemilik premis berusia 70-an itu maklum atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan.
"Kilang tersebut merupakan kilang kayu namun pemiliknya isytihar kepada MITI sebagai perniagaan 'hardware'.
"Lelaki itu akur bahawa perniagaannya bukan keperluan dan faham yang dia telah salah guna kelulusan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.
Mohd Khaizam berkata, kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atas pemilik premis manakala lapan pekerja tempatan dikompaun RM2,000 setiap seorang.
"Tindakan ke atas premis itu dijalankan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
"Pekerja pula dikenakan tindakan mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.
Selain itu, beliau berkata, 17 pekerja asing warga Bangladesh turut ditahan untuk tindakan lanjut.
"Kilang tersebut telah diarah tutup serta-merta dan kita akan memaklumkan kepada MITI bagi membatalkan kelulusan operasi kilang tersebut.
"Polis komited dalam memastikan orang ramai patuh kepada SOP yang ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran yang dibuat dan tindakan tegas diambil termasuk melakukan pemantauan berterusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!