Malaysia sasar 200,000 dos suntikan menjelang akhir Julai

Para penerima vaksin mendaftar sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kampung Laut, pada Khamis. Foto Bernama
Para penerima vaksin mendaftar sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kampung Laut, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menyasarkan sebanyak 200,000 dos suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat negara ini setiap hari menjelang 31 Julai depan.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan strategi negara untuk memberi suntikan kepada seramai mungkin penduduk di negara ini dengan kadar segera bagi melindungi dan membendung penyebaran wabak Covid-19.

"Secara purata, seramai 100,000 orang telah divaksinkan sejak 27 Mei lalu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, kerajaan giat berusaha untuk meningkatkan kapasiti serta menggembleng tenaga dalam tempoh 100 hari pelaksanaan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Sebanyak 5,623,800 dos vaksin Covid-19 diterima negara sejak pemerolehan dibuat pada Ogos tahun lalu," katanya.

CITF berkata, strategi memperkasakan kadar vaksinasi dilaksanakan melalui pembukaan tujuh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bermula dengan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 31 Mei lepas.

PPV Mega lain yang bakal beroperasi ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Axiata Bukit Jalil, Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC), Pusat Konvensyen Setia City dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

"Secara keseluruhannya, seramai 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari melalui tujuh PPV ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan sama, kekuatan tenaga juga telah ditambah dengan 30,268 sukarelawan berdaftar.

"Dengan usaha yang sedang giat dijalankan ini, kerajaan yakin sasaran imuniti kelompok

dapat dicapai.

"Lebih ramai rakyat mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19. Penularan wabak ini dapat dibendung, sekali gus sektor ekonomi negara dapat dibuka semula secepat mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!