Tahanan maut: Siasatan polis fokus terhadap aspek kecuaian anggota

Arjunaidi ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung kes-kes di negeri Selangor, pada Jumaat. -Foto Bernama
Arjunaidi ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung kes-kes di negeri Selangor, pada Jumaat. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor akan memberi fokus terhadap aspek kecuaian anggota dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan kes kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kes itu kini telah diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan di mana anggota dengan cuai membiarkan tahanan melarikan diri.

Beliau berkata, pegawai penyiasat terlibat juga telah ditukarkan sementara pihaknya menunggu hasil siasatan lanjut berhubung kes itu.

"Tindakan selanjutnya akan diambil selepas ini bergantung kepada hasil siasatan yang diperolehi nanti.

"Kertas siasatan mati mengejut (SDR) turut dibuka selari dengan tujuan kita untuk tentukan punca kematian dan pemeriksaan di lokasi kejadian juga telah dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor," katanya pada sidang media di IPK Selangor pada Jumaat.

Dalam kejadian pada Khamis itu, seorang tahanan di IPD Klang Selatan, Umar Faruq Abdullah, 36, maut selepas terjun dari aras dua balai berkenaan ketika ditahan untuk soal siasat oleh polis.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, sewaktu kejadian, tahanan terlibat cuba melarikan diri ketika sedang menuju ke lokap bersama pegawai penyiasat berpangkat sarjan itu selepas selesai diambil keterangan.

"Semasa sedang menuruni tangga, suspek bertindak menolak pegawai penyiasat itu dan pada masa sama cuba melarikan diri dengan terjun melalui tingkap di tangga berkenaan yang terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan itu, mangsa telah jatuh ke konkrit pemisah antara tingkat satu dan dua sebelum terhempas di atas sebuah motosikal di kawasan parkir," katanya.

Ujar Arjunaidi, mangsa mengalami retak pada tempurung kepala, muka dan beberapa kecederaan lain ekoran kejadian itu.

"Kecederaan lain bergantung kepada pengesahan ujian bedah siasat yang akan dilakukan di Hospital Klang pada petang Jumaat," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Arjunaidi berkata, sejak 1 hingga 3 Jun, sebanyak 487 kompaun telah dikeluarkan oleh polis Selangor susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh semua sektor atau 'total lockdown'.

"Saya juga telah arahkan semua Ketua Polis Daerah untuk tingkatkan sekatan dan pemantauan bagi memastikan semua pihak patuhi SOP ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!