Perak siasat dakwaan pendakwah pengaruh masyarakat SOP, antivaksin
IPOH - Kerajaan negeri Perak akan menyiasat dakwaan seorang pendakwah yang dipercayai mempengaruhi orang ramai supaya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah jangkitan Covid-19 ketika beribadat dan menyampaikan ceramah berunsur antivaksin.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan susulan akan diambil sekiranya dakwaan itu terbukti selepas siasatan selesai.
"Setakat ini saya belum terima sebarang laporan mengenai isu itu dan kita akan siasat terlebih dahulu. Jika sudah siasat pasti ada tindakan susulan. Saya tidak boleh beri kenyataan apa-apa kerana khuatir maklumat itu tidak betul, siasatan harus dibuat terlebih dahulu," katanya.
Beliau yang juga memegang portfolio agama Islam negeri berkata demikian semasa ditanya berhubung perkara itu pada sidang akhbar secara maya di sini pada Jumaat.
Akhbar tempatan melaporkan pendakwah terkenal yang juga pengetua madrasah di Lenggong adalah antara yang dikesan cuba mempengaruhi masyarakat supaya tidak mematuhi SOP ketika beribadat selain menyampaikan ceramah yang berunsurkan antivaksin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!