Tidak signifikan walaupun berjaya

A
A
A

WALAUPUN perkataan ‘berjaya’ sangat luas maksudnya, namun ramai yang telah berjaya dalam kehidupan mereka. Kebiasaannya, sesuatu kejayaan itu dikaitkan dengan pemilikan harta yang banyak, pangkat yang tinggi, gelaran berderet, perniagaan dan perladangan yang besar keuntungannya, belajar peringkat tertinggi dan sebagainya lagi.

Pun begitu, tidak semua mereka yang berjaya adalah signifikan dalam masyarakat kerana mereka terlalu eksklusif dan berlegar sesama mereka sahaja. Bagi masyarakat, mereka yang signifikan adalah golongan yang dimuliakan kerana terkenal membantu orang ramai, turut sama berpeluh menghadapi krisis dan menjadi rujukan bagi segala isu.

Sebetulnya, mereka yang signifikan tidak semestinya kelompok yang berjaya dalam kategori diperjelaskan tadi. Apa yang jelas, mereka yang signikan adalah suka memuliakan orang lain dan tidak berharap untuk dimuliakan. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh menjadi orang yang signifikan.

Namun jika mereka yang ‘berjaya’ dalam hidup masih tidak mampu menjadi signifikan, sudah tentu keberadaan mereka hanya menimbulkan perasaan ‘meluat’ dalam kalangan masyarakat. Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Falsafah Hidup, “Kemuliaan hidup adalah berkaitan dengan kemuliaan budi dalam pergaulan, pandai menghormati orang lain dan tidak canggung meletakkan dirinya dalam masyarakat. Mereka juga boleh menyelesaikan kekusutan yang diadukan kepadanya serta menjadi contoh kepada orang lain tentang ketulusannya. Selain itu, mereka juga meninggalkan jasa yang banyak dan namanya harum sepanjang zaman.”

Berkaitan dengan individu yang berjaya tetapi tidak signifikan, perkongsian kisah seorang jurugambar boleh dijadikan panduan untuk kita semua. Pada bulan Mac 1993, semasa Kevin Carter membuat liputan kes kebuluran di Sudan, beliau bertemu dengan seorang budak perempuan yang rebah di kawasan tanah lapang dalam perjalanan menerima bantuan. Terdapat seekor burung hering berdekatan dengannya. Memandangkan peristiwa tersebut dianggap unik dan jarang berlaku, beliau telah mengambil gambar situasi berkenaan dan diterbitkan The New York Times pada 26 Mac 1993.

Akhirnya beliau telah menerima Anugerah Pulitzer pada tahun 1994. Pun begitu, setelah menerima anugerah berkenaan, beliau telah dicerca oleh kebanyakan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan kerana terlalu mementingkan kerjaya berbanding keselamatan dan maruah budak berkenaan.

Kemuliaan

Walaupun budak tersebut diselamatkan oleh orang lain, namun tekanan yang hebat daripada masyarakat menyebabkan beliau mengambil keputusan membunuh diri setelah empat bulan menerima anugerah.

Artikel Berkaitan:

Sedarlah, kemuliaan akan hadir dengan sendiri setelah kita memuliakan orang lain. Berkaitan hal itu, ALLAH telah berfirman: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami kerjakan.” (Surah Fatir, 35:37). Ini bermakna kita tidak boleh menangguh dalam melakukan perbuatan kebaikan.

Malah pernah seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah lalu menjawab, mereka yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh) mereka. Lalu lelaki itu bertanya lagi, siapa pula manusia yang teruk? Rasulullah menjawab, mereka yang dipanjangkan usianya (tetapi semakin) buruk amalan mereka.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).Rumusannya, selagi kita tidak berusaha memuliakan orang lain, maka selagi itulah kita tidak signifikan dalam masyarakat. Amat memalukan jika mereka yang serba kekurangan gigih membantu dalam kapasiti mereka, namun mereka yang ‘berjaya’ masih terkial-kial di rumah tanpa mempedulikan kepasrahan orang lain.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!