Impak negatif trio naturalisasi
KEGAGALAN trio naturalisasi melaksanakan tugas dengan baik menjadi antara faktor Harimau Malaya tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada awal pagi Jumaat.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh gagal melaksanakan tugas di posisi masing-masing sehingga menyumbang kepada kekalahan besar itu.
“Memang sedih dengan kekalahan ini kerana ia turut melibatkan maruah negara kita. Kalau kita tengok komitmen ketiga-tiga pemain naturalisasi itu, ia sememangnya mengecewakan.
“Pemain tempatan negara pun tidak seteruk mereka. Kita tengok apabila Syafiq (Ahmad), Luqman Hakim (Samsuddin) masuk pada babak kedua, mereka memberikan aksi 100 peratus.
“Bukan Syafiq dan Luqman Hakim saja, kita dapat lihat beberapa pemain tempatan khususnya penjaga gol (Farizal Marlias) termasuk pemain kacukan bermain lebih baik.
“Mereka tampil dengan komitmen, semangat yang cukup tinggi. Paling penting mereka ada jiwa untuk bermain sepanjang perlawanan itu berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam aksi di Stadium Zabeel, Dubai itu, Harimau Malaya terpaksa akur tumbang di tangan UAE yang memperoleh gol menerusi dua jaringan penyerang berbisa, Ali Mabkhout dan dua lagi gol sumbangan pemain naturalisasi, Fabio Lima.
“Saya pernah katakan sebelum ini, coach Tan (Cheng Hoe) perlu buat ‘kaunseling’ dengan pemain-pemain naturalisasi. Ini kerana mereka sekarang menyarung jersi Malaysia dan bukannya sekadar bermain untuk kelab.
“Bagi saya masih banyak kerja yang perlu dilakukan coach Tan. Masa masih ada buat coach Tan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan pemain khususnya pemain naturalisasi,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Azraai turut menyentuh kemampuan pemain kacukan, Dion Cools yang membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya dalam perlawanan tersebut.
“Seperti yang kita tahu, Cools seorang pemain yang berpengalaman kerana beraksi di Eropah. Boleh dikatakan dia berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dalam pertemuan menentang UAE.
“Jadi kehadiran Cools diharap dapat membantu memperkemaskan lagi benteng pertahanan Harimau Malaya dalam dua lagi perlawanan penting menentang Vietnam dan Thailand nanti,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!