Baik buruk mata wang digital

A
A
A

TAHUN 2013 kolumnis tetap majalah dalam talian terkenal Amerika Syarikat (AS) Pacific Standard, Kyle Chayka telah menarik perhatian dunia terhadap fenomena mata wang digital (crypto currency). Dalam artikelnya bertajuk What comes after Bitcoin?, beliau melihat kemunculan Bitcoin ketika itu berpotensi untuk diarus perdanakan secara global sekali gus menggantikan peranan mata wang fiat dalam transaksi kewangan.

Alasannya mudah, penggunaan pihak ketiga seperti bank dan rangkaian pemprosesan pembayaran antarabangsa seperti Visa, Mastercard atau American Express dalam transaksi amat merugikan. Aspek susut nilai wang yang harus bergerak melalui beberapa pertukaran dan entiti sebagai orang tengah contohnya dari Ringgit Malaysia (RM) ke Dolar Amerika (AS$) atau ke Pound Sterling (GBP) menjadi permasalahan. Setiap kali ia berpindah tangan, pihak ketiga akan mengambil keuntungan daripada pertukaran tersebut sebelum ia sampai ke penerima terakhir.

Itulah yang merugikan pengguna. Kerana transaksi wang sebenar tidak berlaku pun. Yang bertukar hanya kod-kod digit dalam komputer yang dipindahkan secara digital. Lagipun dahulu semasa sistem kewangan dicipta, internet masih belum wujud. Melalui internet, perkara ini menjadi semakin mudah, pantas dan meluas. Cumanya dasar monetari masih lagi diperlukan sebagai alat pengawalan dan mekanisme kestabilan.

Namun, China bakal menjadi negara terawal untuk menuju ke arah itu. Ini selepas negara tembok besar itu mengumumkan bahawa mereka akan secara rasmi menggunakan wang digital dalam transaksinya. Khamis lalu, YuanPay Group telah dipilih oleh negara itu sebagai firma yang akan menguruskan proses jual beli Yuan digital.

Selepas ini, mana-mana mata wang boleh ditukarkan kepada Yuan digital dan menjadikan ia mata wang digital pertama yang diiktiraf oleh kerajaan di dunia. Hal ini sekali gus memungkinkan aspek pengawalan dan mekanisme kestabilan menerusi dasar monetari kerajaan sedia ada boleh dikesampingkan.

Semenjak AliPay dipelopori Kumpulan Alibaba diperkenalkan tahun 2004, aplikasi pembayaran secara digital di China terus berkembang dengan kemunculan pemain baharu menerusi WeChat Pay, Baidu Wallet dan Weibo sebagai pesaing terdekat.

Sejak itu, dianggarkan 60 peratus daripada 1.3 bilion warga China telah melakukan transaksi secara dalam talian lantas membawa China semakin hampir untuk menjadi sebuah negara tanpa tunai.

Dengan kemajuan teknologi, kadar pendigitalan dan penembusan mudah alih yang semakin tinggi di seluruh dunia, tidak mustahil mata wang digital akan menggantikan dan mengambil alih tata kelola kewangan global kita kelak.

Artikel Berkaitan:

Walaupun demikian, ada beberapa perkara yang mungkin masih boleh diperhatikan. Pertama aspek universal wang fiat yang masih tidak dapat ditandingi oleh wang digital terutamanya dalam beberapa perkara. Sebagai permulaan, wang digital tidak mampu menjadi penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik berbanding wang fiat malah menandingi emas dan perak disebabkan ia sentiasa terdedah dengan ancaman ketidaktentuan siber serta bergantung kepada kesiagaan landskap dan aset digital sesuatu negara.

Aspek keselamatan juga menjadi antara faktor kebimbangan utama penggunaan wang digital. Sifat separa-sulit transaksi mendedahkan ia kepada aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram, penipuan, salah guna dan kecurian data peribadi pengguna secara dalam talian.

Setakat ini, masih belum ada satu undang-undang antarabangsa yang digubal bagi menangani isu-isu tersebut melainkan melalui perundangan negara masing-masing. Walaupun begitu, undang-undang sedia ada juga masih sukar untuk mengambil tindakan disebabkan banyaknya lompang dalam konteks penggunaan mata wang digital.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains PolitikFakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!