Pemerkasa Tambahan PKP 3.0 tidak menyeluruh
ALOR SETAR - Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan disifatkan tidak menyeluruh dalam aspek kesihatan, keprihatinan rakyat dan perniagaan selain tidak menggambarkan bantuan yang komprehensif kerana mempunyai kelompangan pemantauan.
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, ini kerana rakyat pelbagai peringkat sama ada kumpulan B40, M40 dan T20 benar-benar terkesan dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, bagaimanapun bantuan khusus seperti moratorium pinjaman tidak dilaksanakan secara automatik dan menyukarkan bank untuk membuat semakan tepat kepada mereka yang wajar menerima moratorium.
“Bank sukar untuk semak manakala rakyat juga susah kerana perlu bersesak menghubungi bank untuk pastikan mereka layak terima moratorium. Ini menyebabkan ada yang tercicir.
"Lebih wajar sekiranya moratorium secara automatik diberikan kepada semua peminjam kerana mereka yang terkesan dengan Covid-19 tidak hanya kepada B40 atau M40, tetapi T20 turut terkesan. Kalau dianggap T20 tidak terkesan hanya dengan melihat kadar gaji, itu silap kerana mereka turut terkesan apabila mempunyai pinjaman lebih banyak berbanding B40 dan M40,” katanya kepada Sinar Harian.
Dr. Mohd Syakir berkata, sekiranya bantuan moratorium diberikan secara automatik dan menyeluruh, maka ia tidak memberi kesan langsung kepada kerajaan kerana kebertanggungjawaban kepada peminjam untuk melunaskan hutang dipanjangkan tempohnya.
“Tanggung jawab itu diletakkan di bawah peminjam. Kalau T20 tidak mahu moratorium, boleh mohon kepada bank untuk meneruskan dan kaedah ini lebih memudahkan banyak pihak.
"Tambahan lagi, dengan hutang yang banyak memungkinkan T20 boleh turun tarafnya kepada M40 malah kepada B40,” katanya.
Menurutnya, semua peringkat terkesan dengan wabak itu namun berbeza-beza mengikut setiap peringkat.
“Bagi saya, wajar kerajaan memberi perhatian kepada semua pihak. Contohnya, kedai peruncitan dibenarkan beroperasi dan bantuan peruncitan diberikan. Setakat mana bantuan ini disalurkan dengan tepat kepada yang terkesan, iaitu mereka yang tidak beroperasi,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Syakir berkata, masalah-masalah berkaitan bantuan masih berterusan dan ia kemungkinan disebabkan kerajaan tidak mempelbagaikan sumber pendapat sebaliknya hanya merujuk kepada orang yang sama.
“Saya menyokong usaha kerajaan daripada manifestasi penolakan elaun penjawat awam. Namun beri peluang kepada peminjam untuk menikmati moratorium automatik tiga bulan sehingga enam bulan.
"Ada juga anak muda yang tidak bekerja dan belajar di universiti diberi bantuan e-wallet sebagai pelajar sebanyak RM100-RM150 sedangkan mereka menganggur dan tiada pekerjaan, sepatutnya diberikan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebagai individu bujang,” katanya.
Beliau berkata, masih terdapat banyak kelemahan BPR yang perlu dinaik taraf antaranya aspek permohonan yang gagal disebabkan berpandukan dokumen lama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Ada kes mereka muflis dalam perniagaan tetapi kerana nama masih tercatat dalam SSM, permohonan bantuan BPR tidak diluluskan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan dengan jumlah keseluruhan RM40 bilion bagi membantu meredakan cabaran yang dihadapi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!