PH bimbang kebangkitan Najib, kata Tajuddin
SEMENYIH - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata 'serangan' pemimpin PH terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siri ceramah mereka di PRK Semenyih, menunjukkan PH kini bimbang dengan kebangkitan bekas Perdana Menteri itu.
Tajuddin berkata, PH kini sedar populariti dan sokongan mulai berubah kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
"Tiada modal lain itu sahaja modal yang mereka ada, PH mulai nampak kebangkitan dan sokongan kepada Najib begitu hebat, ini mampu gugat PH jadi mereka terpaksa menyerang Najib untuk melemahkan kekuatan ini.
"Sebab itu serangan mereka bertalu-talu dan berulang...PH sudah takut mereka tidak serang saya, tapi serang Najib kerana mereka sedar beliau ada kekuatan yang mampu menggugat PH," katanya ketika ditemui di pusat Gerakan BN, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas situasi ceramah PH di sini, yang menjadikan Najib sebagai modal ceramah.
Sementara itu menyentuh mengenai penerimaan rakyat Semenyih terhadap BN pula, Tajuddin berkata, respon yang diterima sangat positif.
"Kalau kita lihat secara lahiriah kita akan menang besar di Semenyih lainlah mereka undi lain tapi saya rasakan sokongan ini bukan satu lakonan dan serius .
"Ini berdasarkan maklum balas penduduk di sini yang nyata kesal dengan sikap PH yang banyak tidak menepati janji mereka," katanya.
PRK DUN Semenyih akan berlangsung pada 2 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!