Pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat ditangguh hingga 1 Januari 2022

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat bagi penggajian pekerja warga asing ditangguhkan hingga 1 Januari 2022, umum Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas.

Sebelum ini, Levi Pelbagai Peringkat ditangguhkan pelaksanaannya mulai 1 Januari 2021 hingga 1 Julai 2021.

“Keputusan ini mengambil kira cabaran negara ketika ini yang sedang berhadapan krisis pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor kesihatan dan ekonomi sekali gus memberikan impak besar kepada pelbagai industri,” katanya.

Saravanan berkata, apabila Levi Pelbagai Peringkat dilaksanakan kelak, penggajian pekerja warga asing adalah berdasarkan keperluan sebenar industri.

"Ia dijangka dapat mengurangkan kebergantungan tinggi negara terhadap pekerja warga asing kerana kadar levi akan meningkat mengikut siling kebergantungan," katanya.

Bagi melaksanakan levi tersebut, Saravanan berkata, modul eQuota di bawah Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) akan digunakan.

Katanya, modul eQuota dapat memastikan ketelusan proses penentuan kelayakan kuota pekerja asing kepada majikan dan akan digunakan untuk pengambilan pekerja warga asing baharu dari negara sumber. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!