Kerajaan hanya belanjakan RM5 bilion untuk Pemerkasa Tambahan: AMK

Akmal Nasrullah menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 yang diadakan secara maya, pada Sabtu.
Akmal Nasrullah menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 yang diadakan secara maya, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengkritik pakej rangsangan ekonomi terbaharu diumumkan kerajaan, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (​Pemerkasa) Tambahan yang kononnya bernilai RM40 bilion tetapi hakikatnya kerajaan hanya membelanjakan RM5 bilion.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, nilai itu jauh dari apa yang diunjurkan untuk menampung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini iaitu sekurang-kurangnya RM45 bilion.

"Rakyat boleh melihat betapa longlainya kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini yang begitu terdesak untuk memberikan gambaran baik dengan menguar-uarkan pakej rangsangan ekonomi yang terbaharu iaitu Pemerkasa Tambahan kononnya bernilai RM40 bilion.

"Maka tidak hairan, kerajaan PN ini sedang bergelumang dengan krisis kepimpinan apabila masing-masing ada cita-cita sendiri dan hanya memikirkan untuk menyelamatkan survival politik masing-masing sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kepimpinan lemah yang mengetuai kerajaan hari ini juga menjadi punca pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' separuh masak.

"Apabila bicara rakyat mula diabaikan oleh pemerintah, apabila demokrasi berparlimen dilumpuhkan, apabila ketidakadilan dirasai, apabila terdapat kelompok masyarakat yang dipinggirkan, rakyat pasti bangkit.

"Tidak mungkin kita boleh membiarkan negara mempunyai dua set undang-undang seperti dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), satu untuk golongan kayangan, satu lagi untuk rakyat marhaen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, keadaan itu menjurus kepada kegagalan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebelakangan ini apabila kerajaan PN lebih memikirkan tauke besar berbanding peniaga kecil, pekerja menengah dan bawahan serta orang biasa.

Akmal Nasrullah berkata, ekoran kegagalan PN dalam menguruskan krisis Covid-19, negara kini terheret ke arah krisis ekonomi yang kian meruncing.

Katanya, walaupun perkara itu beberapa kali cuba dinafikan oleh kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, namun ia masih tidak dapat menyangkal realiti sebenar apa yang berlaku.

"Apabila sudah tidak dapat disorokkan lagi, maka mulalah unjuran-unjuran luar biasa dipaparkan kepada rakyat. Saya ambil contoh berkenaan angka yang dicatat melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Benar, KDNK bukanlah satu-satunya tanda aras menggambarkan keadaan ekonomi negara. Tetapi kita boleh lihat bagaimana kerajaan meletakkan suatu unjuran ekonomi yang tidak munasabah demi memberikan perspektif positif kepada kerajaan," katanya.

Menurut Akmal Nasrullah, Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dibentang Menteri Kewangan mengunjurkan KDNK bagi tahun 2020 menyusut -4.5 peratus dan ia berbeza dengan hakikat yang sebenar iaitu ekonomi menguncup sebanyak -5.6 peratus bagi tahun 2020.

Jelasnya, ia sekaligus menjadi penyusutan kedua terbesar sejak krisis kewangan Asia tahun 1998 yang hampir selari dengan unjuran Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) yang menyasarkan penguncupan yang lebih besar sekitar -5.7 peratus.

"Kini dengan keadaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) Malaysia merosot teruk, penurunan penarafan kewangan oleh Fitch Rating untuk Malaysia, peningkatan hutang negara yang ketara ditambah dengan kegagalan kerajaan mengekang penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, pastinya tidak masuk akal lonjakan luar biasa KDNK tahun 2021 kepada 6.5 peratus hingga 7.5 peratus seperti yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2021.

"Tidak hairanlah berdasarkan unjuran songsang ini, dasar-dasar ekonomi PN yang diumumkan jauh daripada mengatasi masalah sebenar; 'lockdown' serupa bukan 'lockdown', moratorium serupa tiada moratorium.

"Janganlah asyik hendak cuba memperbodohkan dan menipu rakyat dengan data dan unjuran tidak masuk akal sebegini, kerana yang suka ‘troll’ kamu adalah dalam kalangan kamu sendiri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: AMK saran moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!