Kelantan sedia 19 PPV awam, sembilan PPVGP
KOTA BHARU – Kelantan membuka 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan sembilan PPV General Practitioner (PPVGP) atau klinik swasta bagi memberi kemudahan kepada seluruh rakyat negeri ini menerima vaksinasi Covid-19 masing-masing.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, kesemua PPV awam tersebut sedang beroperasi sejak minggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan.
Menurut beliau, ia disediakan hampir di setiap daerah di negeri ini bagi memastikan tiada lagi ‘alasan’ yang diberikan melibatkan lokasi yang jauh untuk mengambil vaksin berkenaan.
Beliau berkata, kompleks Islam Jubli Perak di Panji juga akan dibuka sebagai PPV awam bermula 8 Jun ini dan proses penyediaan kelengkapan sedang dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kita cuba wujudkan PPV awam ini hampir di setiap lokasi bagi memudahkan orang ramai untuk hadir. Kami faham situasi semasa ada beberapa kekangan melibatkan pergerakan dan juga kenderaan terutamanya golongan warga emas.
“Anak-anak duduk jauh dan ada yang tinggal di luar negeri. Maka saya berharap agar keluarga mereka akan lebih cakna bagaimana untuk membantu ibu atau ayah masing-masing hadir mengikut janji temu yang ditetapkan.
“Kami juga difahamkan ada pihak yang membuat kerja-kerja sukarelawan membantu golongan warga emas ini untuk ke PPV, maka gunalah inisiatif yang ada tersebut bagi memastikan mereka tidak terkecuali mengambil vaksinasi yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Dr Zaini berkata, selain itu, untuk PPVGP pula, ia diberikan kepada klinik-klinik terpilih mengikut syarat yang ditetapkan dan mereka juga akan dipantau dari masa ke masa bagi memastikan pengurusan vaksinasi dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai perlu mengambil tanggungjawab masing-masing untuk mengingatkan rakan-rakan dan saudara mara supaya mengaktifkan MySejahtera masing-masing terutamanya melibatkan pendaftaran vaksinasi.
“Saya menerima maklumat masih ada mereka yang tidak faham dan tidak tahu bagaimana untuk mengisi pendaftaran MySejahtera dan sebagainya.
“Kami telah cuba bantu sebaik mungkin dan tanggungjawab ini perlu dipikul semua pihak kerana mereka bukan tidak mahu vaksin, tapi tidak tahu bagaimana untuk daftar dan sebagainya.
“Pihak kami berharap rakyat menerima vaksinasi masing-masing dalam waktu terdekat supaya kita dapat memutuskan rantaian pandemik ini sebaik mungkin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!