Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar dilancar hari ini
KUALA LUMPUR - Pelan Strategik KASA 2020-2030: Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia dilancarkan bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 hari ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan itu adalah satu dokumen terperinci dan komprehensif dalam menetapkan matlamat dan sasaran jelas ke arah mencapai kelestarian alam sekitar di Malaysia menjelang 2030.
Menurutnya, pelan yang merupakan sebuah usahasama proaktif warga Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta agensi di bawahnya itu dibangunkan berpandukan tiga kerangka utama yang diterjemahkan kepada hala tuju dan strategi KASA bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2020 hingga 2030.
"Ia merangkumi Rancangan Malaysia yang meliputi agenda kerajaan, dasar semasa kerajaan dan juga agenda pembangunan mampan negara melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 dengan tema 'Pemulihan Ekosistem' secara maya pada Sabtu.
Tuan Ibrahim berharap pelan itu dijadikan sebagai sumber rujukan pihak berkepentingan seperti sektor swasta, universiti tempatan dan lain-lain bagi menyokong inisiatif kementerian agar alam sekitar dapat ditadbir urus dengan baik.
Tuan Ibrahim berkata, Hari Alam Sekitar Sedunia disambut di peringkat global pada 5 Jun setiap tahun sejak 1974 sebagai usaha menangani isu-isu alam sekitar.
Sementara itu, KASA dalam kenyataan memberitahu, draf pelan itu mula dirangka dan dilaksanakan sejak tahun 2020 berasaskan kepada konsep Kesihatan Planet yang merangkumi empat teras utama iaitu Pengukuhan Governans, Pertumbuhan Hijau, Kerjasama Strategik dan Keterangkuman Sosial.
Menurut KASA, objektif utama pelan itu bertujuan memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara mampan dan pemulihan ekosistem yang melibatkan semua pihak dilaksanakan segera.
"Pelan Strategik KASA ini telah disemak semula tahun ini dengan mengambil kira kesan daripada penularan wabak Covid-19 yang memberi impak kepada keadaan ekonomi semasa. Pelan ini boleh dimuat turun di https://www.kasa.gov.my/pelankelestarian-alam-sekitar-malaysia," katanya.
KASA hari ini turut melancarkan buku Climate Change Adaptation Framework for Water Sectors yang dihasilkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).
Buku itu menggariskan kerangka berkaitan perancangan dan strategi pelaksanaan adaptasi perubahan iklim bagi pengurusan sumber air, perkhidmatan air dan bencana alam.
Selain itu, KASA memaklumkan, kementerian itu telah menyusun beberapa aktiviti dalam talian yang boleh disertai oleh orang awam bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi laman media sosial rasmi KASA atau layari laman portal www.kasa.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!