Pelancong Eropah sudah divaksin boleh kunjungi Perancis mulai Rabu depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PARIS - Perancis akan membuka semula sempadannya kepada semua pelancong Eropah yang sudah divaksin tanpa perlu menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), bermula 9 Jun.

Kerajaan Perancis pada Jumaat turut mengeluarkan panduan perjalanan yang mengelaskan negara di bawah tiga kategori iaitu merah, oren dan hijau berdasarkan situasi wabak, lapor Agensi Anadolu.

Setiausaha negara (pelancongan), Jean-Baptiste Lemoyne berkata, Perancis bersedia menyambut kedatangan pelancong asing sambil mematuhi langkah pencegahan kesihatan.

Pengunjung dari Eropah dan Australia, Korea Selatan, Israel, Jepun, Lubnan, New Zealand dan Singapura disenaraikan di bawah zon hijau - sudah divaksin dan tidak perlu menjalani ujian PCR atau antigen 72 jam sebelum berlepas.

Negara dalam senarai merah pula termasuk Argentina, Bahrain, Bangladesh, Bolivia, Brazil, Chile, Colombia, Costa Rica, India, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Suriname, Turki, Uruguay dan Afrika Selatan.

Pelancong dari negara senarai merah perlu menjalani ujian PCR atau antigen dalam masa 48 jam sebelum keberangkatan walaupun sudah divaksin dan dikuarantin selama tujuh hari. Pelancong yang tidak divaksin pula perlu wajib menjalani kuarantin selama 10 hari.

Semua negara lain di seluruh dunia termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat disenaraikan dalam kategori oren dan pelancong yang sudah divaksin masih perlu mengambil ujian PCR (72 jam) atau antigen (48 jam) sebelum berlepas.

Pelancong yang tidak mendapat vaksin perlu mempunyai alasan yang kukuh dan wajib menjalani kuarantin tujuh hari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!