Aksi berlumba tular, tujuh mat rempit kena cekup

Tujuh mat rempit ditahan polis pada Jumaat susulan video aksi menunggang secara bahaya yang dilakukan mereka pada Ahad lalu tular di laman sosial Facebook. - Foto FB JSPT KUANTAN.
Tujuh mat rempit ditahan polis pada Jumaat susulan video aksi menunggang secara bahaya yang dilakukan mereka pada Ahad lalu tular di laman sosial Facebook. - Foto FB JSPT KUANTAN.
A
A
A

KUANTAN - Remaja berusia 15 tahun antara tujuh mat rempit yang ditahan polis kerana menunggang motosikal secara melulu dengan mempamerkan aksi bahaya di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada pada Ahad minggu lalu.

Individu yang berumur antara 15 hingga 27 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 9 malam dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di sini pada Jumaat selepas video aksi mereka tular di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, susulan rakaman video tersebut, pihaknya berjaya mengesan dan menahan individu yang terlibat.

Menurutnya, berdasarkan rakaman itu, mereka dipercayai berlumba menguji kelajuan dengan aksi menundukkan kepala di Jalan Pintasan Kuantan menghala ke Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini.

"Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, penunggang terlibat menggunakan motosikal skuter jenis Avantiz dan Solariz untuk berlumba.

"Semua yang ditahan dibawa ke balai bersama motosikal digunakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohamad Noor berkata, semua yang ditahan kini direman selama empat hari sehingga Selasa depan.

Tambah beliau, pemilik tujuh motosikal itu diambil tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan motosikal digunakan penunggang tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun peringatan dan amaran diberikan berhubung prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di daerah ini, masih terdapat segelintir pihak terus degil keluar tanpa urusan dibenarkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!