'RCI badan Kehakiman tak jejas prosiding mahkamah'

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan penyiasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas badan kehakiman tidak akan menjejaskan mana-mana prosiding di mahkamah.

Menurutnya, kesemua proses akan berjalan seperti biasa di semua peringkat mahkamah.

Tommy berkata penubuhan RCI itu bukan bermaksud kesemua kes akan ditangguhkan secara automatik .

“Berikutan keputusan Kabinet semalam untuk membentuk RCI bagi membuat penyiasatan terhadap Badan Kehakiman, kesemua prosiding yang masih berjalan di mahkamah-mahkamah telah dipersoalkan.

“Hujah prosiding-prosiding mahkamah dan proses pengadilan seharusnya ditangguhkan sementara menunggu siasatan RCI selesai tidak mempunyai sebarang asas dari segi fakta mahupun undang-undang.

“Sementara RCI menjalankan siasatannya, kes-kes di hadapan semua mahkamah akan berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan tubuh RCI siasat salah laku hakim

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat afidavit dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Baker berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tommy berkata senario sama pernah berlaku pada tahun 1988 serta 2007 di negara ini namun tiada sebarang penangguhan kes berlaku.

Katanya, hakim dan peguam bertanggungjawab untuk memastikan proses pengadilan tidak terganggu.

Sebelum ini, Hamid Sultan dalam afidavitnya setebal 63 muka surat sebagai sokongan kepada permohonan oleh Sangeet Kaur Deo, mendedahkan antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa perlakuan campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Pendedahan melalui afidavit sokongan itu berikutan kes saman pemula yang difailkan Sangeet iaitu anak mendiang Karpal Singh terhadap Ketua Hakim Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!