Terpaksa pinjam ah long RM500 untuk beli susu anak

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) merekodkan peningkatan aduan kes ah long sebanyak 50 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar dan Sekatan Pergerakan Penuh.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, peningkatan aduan diterima melibatkan pengguna gagal membayar hutang ah long sejak 1 Mei berbanding sebelum ini.

Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan tahun lepas, pihaknya merekodkan 30 peratus aduan ah long dan dijangka meningkat lebih 50 peratus selepas Sekatan Pergerakan Penuh kali ini.

"Kebanyakan pengguna berkenaan mendakwa meminjam ah long atas desakan hidup bagi menampung kehidupan mereka disebabkan tidak dapat bekerja dalam tempoh berkenaan.

"Akibat terdesak, ada yang meminjam dalam kadar rendah antara RM500 hingga RM1,000 sebelum hutang meningkat akibat caj bunga dan tidak mampu membayar hutang dengan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohamad Yusrizal berkata, antara aduan kes diterima Cake adalah seorang pengguna memberitahu dia terpaksa membuat pinjaman RM500 daripada ah long untuk membeli susu anak dan sebagainya dengan bayaran harian sebanyak RM5.

Bagaimanapun menurutnya, peminjam itu tidak berupaya menjelaskan bayaran dengan baik disebabkan perniagaan dan pendapatan yang tidak menentu.

"Kegagalan sebilangan peminjam membayar hutang ah long dalam tempoh ditetapkan menyebabkan ada menerima ugutan dan rumah disimbah dengan cat merah.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, ada pengguna meminjam ah long untuk membeli keperluan harian dan mereka mungkin akan meminjam lagi untuk pusingan modal niaga selepas tamat perlaksanaan sekatan," katanya.

Tambahnya, pihaknya percaya aduan akan meningkat disebabkan ramai orang terputus mata pencarian seharian mereka meskipun ada sektor ekonomi beroperasi seperti biasa.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap pihak bertanggungjawab lebih aktif mencari dan mengenalpasti golongan bersasar bagi memastikan golongan benar-benar perlu menerima bantuan sekaligus tidak mengambil jalan singkat dengan meminjam ah long.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!