Kerajaan ada kuasa arah bank beri moratorium tanpa caj
SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akhirnya mengakui kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan bank memberi moratorium tanpa caj atau faedah, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Asyraf, menteri terbabit bagaimanapun memberi alasan kerajaan perlu menyediakan pampasan kepada bank bagi tujuan tersebut.
“Sefaham saya di bawah Ordinan Darurat, tiada pula disebut pasal pampasan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Tengku Zafrul mendedahkan kerajaan bakal menanggung kos pampasan tidak diperlukan sama sekali kepada institusi perbankan sekiranya bertekad mahu moratorium pukal dilaksanakan kepada semua peminjam bank.
Jelas beliau, Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sememangnya memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil alih dan menggembleng apa jua sumber diperlukan diperlukan untuk kepentingan negara.
Namun, Tengku Zafrul menjelaskan, Seksyen 5 ordinan sama juga menyatakan jika kerajaan menggunakan kuasa itu, pampasan harus diberikan kepada pihak yang memiliki sumber tersebut iaitu institusi perbankan.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan perlu manfaatkan sepenuhnya Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bagi menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira golongan.
“Jika benar alasan darurat sebab hendak bantu rakyat, Pemuda UMNO berharap usahlah banyak sangat alasan.
“Manfaatkan sepenuhnya Ordinan Darurat, arahkan sahaja bank-bank tawarkan Moratorium 2.0 tanpa faedah atau caj secara automatik kepada rakyat tanpa mengira kategori B40 atau M40.
“Kerajaan bertanggungjawab jaga rakyat bukan hanya jaga bank!,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya lebih rela salur kos pampasan moratorium pukal untuk bantu rakyat'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!