UNHCR tiada hak akses ke depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak ada hak untuk memperolehi akses ke depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang tindakan penguatkuasaan dilakukan JIM adalah membabitkan pendatang asing yang melakukan kesalahan.
“Saya nak jelaskan, ini negara kita yang dia (UNHCR) nak masuk ke depoh (tahanan) JIM kita kenapa? Kita tahu siapa yang kita tangkap, orang yang kita tangkap itu melakukan kesalahan.
“Jika ada kad UNHCR kita lepaskan. Mereka (JIM) tidak pernah pun melakukan perkara yang menzalimi sesiapa dalam negara kita ini,”katanya dalam sidang media secara maya pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai tindakan UNHCR yang mendesak mereka diberikan akses ke ke depot JIM untuk menilai status warganegara Myanmar kerana kini mereka sudah tidak lagi mendapat akses tersebut.
Pertikaian itu ditimbulkan susulan tindakan kerajaan melaksanakan penghantaran pulang warga Myanmar yang didapati tidak mempunyai kad UNHCR tinggal di negara ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, satu perbincangan semula bersama UNHCR bersama Wisma Putra akan dilakukan bagi membincangkan isu-isu berbangkit termasuk kedudukan kuasa besar UNHCR di negara ini.
Katanya, UNCHR patut sedar bahawa kedudukan mereka di negara ini adalah berstatus sementara namun sudah dibenarkan beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu.
“Itu pun mereka patut sedar. Jadi ini yang sebenarnya ada perkara-perkara yang saya akan duduk semula dengan UNHCR dan Wisma Putra untuk memastikan perkara ini tidak berpanjangan lagi dalam negara kita.
“Saya tidak mahu menyalahkan UNHCR. Tapi saya nak maklumkan kepada rakyat, mereka dah keluarkan kad UNHCR dalam negara sudah melebihi 120,000.
“Cuba kita fikirkan, bukankah kad (pengenalan diri) yang ada dalam negara kita adalah kad yang dikeluarkan oleh negara kita? Tiba-tiba ada pihak lain yang keluarkan lebih atas daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ini perkara lama yang patut kita betulkan sekarang untuk masa depan lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!