Polis serbu pusat urut tawar khidmat pelacuran
KUALA LUMPUR - Sebuah pusat urut tidak berlesen di Jalan Kuchai Lama di sini digempur polis pada Jumaat kerana menjalankan kegiatan pelacuran.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam operasi kira-kira jam 7.30 petang itu, polis menahan tiga wanita warga Vietnam berusia 20 hingga 33 tahun yang disyaki pelacur dan tukang urut.
"Polis turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berperanan sebagai penjaga premis serta pelanggan.
"Sebanyak tujuh keping kondom telah dirampas selain tuala, telefon bimbit, wang tunai serta beberapa barang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seorang lagi lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disyaki sebagai 'transporter' ditahan semasa pemeriksaan di tempat letak kereta premis pusat urut terbabit.
Katanya, polis kemudian bertindak merampas kenderaan, sekeping pasport Vietnam dan kondom.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!