Budak maut terperangkap kebakaran semasa ibu bapa ke kedai
GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kondominium The Rise Collection II, Jalan Dr Wu Lien Teh di sini pagi Sabtu.
Nur Rania Adelia Mohd Zaid disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 10.53 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ibu bapa mangsa keluar ke kedai di bawah kondominium tersebut pada jam 8.30 pagi manakala mangsa dan adiknya, Muhammad Ariq Zakwan masih tidur di ruang tamu.
"Mereka hanya membawa anak bongsu yang berusia setahun. Ketika di kedai bapa mangsa memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon dan mendapati ruang rumah dipenuhi asap.
"Pasangan itu kemudian bergegas pulang. Bapa mangsa memasang kemudahan itu bertujuan memantau anak-anak mereka di rumah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Soffian memberitahu, selepas menyerahkan anak bongsu mereka kepada jiran, suami isteri itu meluru masuk ke dalam rumah.
"Suami telah menyelamatkan anak kedua yang terbaring di ruang tamu manakala isterinya ke bilik utama lalu membawa mangsa keluar.
"Kesemua mereka dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut. Bapa mangsa dan kakitangan Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) cuba menyelamatkan mangsa namun dia disahkan meninggal dunia pada jam 10.53 pagi.
"Adik mangsa pula disahkan selamat dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambahnya, proses bedah siasat mengesahkan punca kematian kerana terhidu asap dan mangsa diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek, Jelutong di sini.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 pagi.
Menurutnya, bomba tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian sebelum menjalankan kerja-kerja pemadaman.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, dua kanak-kanak sudah dibawa keluar dari rumah itu oleh ibu bapa mereka. Kita juga berusaha memberi bantuan pernafasan serta rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke HPP.
"Api berjaya dikawal pada jam 9.36 pagi yang mana kerja pemadaman turut mendapat bantuan daripada BBP Lebuh Pantai. Kebakaran itu melibatkan 70 peratus kemusnahan," katanya.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
"Lokasi kejadian merupakan sebuah rumah di tingkat 19 yang memiliki tiga buah bilik tidur. Tiada rumah lain yang terlibat dalam kebakaran ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!