Mereka pergi meninggalkan kita pada saat yang tidak menentu ini
DAH hampir seminggu kita semua mengharungi total lockdown tapi Belalang tidak nampak sebarang perubahan mendadak dalam kes baharu Covid-19 melainkan angka yang menurun sedikit.
Kes kematian juga tidak menunjukkan sebarang penurunan yang ketara sebaliknya angka tetap tinggi.
Belalang duduk termenung memikirkan masa depan kita semua yang penuh dengan ketidakpastian dan ketentuan.
Belalang baru menerima perkhabaran yang mendukacitakan, sahabat lama Belalang yang bertaraf seorang kakak senior baru sahaja meninggal dunia akibat Covid-19.
Rasa sedih dan hiba tak dapat nak diceritakan kerana orang yang kita kenali yang kita anggap sebagai seorang kakak telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Yang lebih menyedihkan adalah kerana bukan sahaja kita tidak dapat menziarahinya ketika dia sakit tetapi kita juga tidak dibenarkan menziarahi jenazahnya buat kali yang terakhir di kubur.
Nak masuk ke kawasan perkuburan ketika kerja-kerja pengebumian sedang dilakukan pun tak boleh. Ahli keluarga yang dibenarkan mengiringi jenazah pun kena pakai pakaian khas sepertimana petugas barisan hadapan.
Sesungguhnya kita tidak akan terasa kesan Covid-19 ini sehinggalah salah seorang ahli keluarga atau kenalan rapat kita pergi meninggalkan kita kerananya.
Inilah kesedihan yang teramat sangat akibat Covid-19 − iaitu kesan pasca Covid-19 ke atas diri kita dan orang di sekeliling kita.Para pakar termasuk Ketua Pengarah Kesihatan telah memberi amaran dan indikasi bahawa menjelang minggu akan datang iaitu selepas tempoh berkurung dua minggu tamat, angka positif Covid-19 tidak akan berubah.
Jadi kita semua dapat jangkakan yang tempoh PKP 3.0 akan dilanjutkan lagi dua minggu.
Sejak 18 Mac tahun lalu sehingga saat ini, negara kita telah menyaksikan lebih 600,000 kes positif Covid-19 dengan lebih 3,000 kematian yang dikaitkan dengan pandemik ini.
Sekali lagi pakar termasuk penyelidik dari luar negara membuat andaian bahawa jumlah kematian akibat Covid-19 boleh mencecah 26,000 angka menjelang September jika kes tidak menunjukkan sebarang penurunan.
Andai kata ini benar-benar berlaku, pada kiraan Belalang, maka 23,000 rakyat Malaysia akan terkorban dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan anggaran 250 kematian sehari jika kita gagal kawal situasi yang semakin meruncing ini.
Hakikat hari ini ialah kehidupan kita semua jadi tidak normal gara-gara Covid-19.
Kita bangun keesokan pagi tanpa mengetahui kita akan masih ada kerja atau tidak. Atau siapa dalam kalangan kita yang didapati positif Covid-19.
Ia adalah musuh yang kita tidak nampak tapi wujud di hadapan kita.
* Belalang - Hanya mampu berdoa moga Tuhan lindungi kita daripada wabak yang menakutkan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!