Lebih RM500,000 untuk mangsa banjir, ribut di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kerajaan menyalurkan bantuan wang ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) berjumlah RM525,500 kepada rakyat Terengganu yang terjejas akibat banjir dan Ribut Tropika Pabuk pada 2018 dan tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bantuan sebanyak RM500 yang diberikan kepada 1,051 keluarga itu bukanlah pampasan atau ganti rugi atas kerugian terhadap kerosakan sebaliknya ia adalah sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban dialami mangsa.
“Penerima tertinggi adalah dari daerah Hulu Terengganu seramai 485 orang, diikuti 170 penerima dari Kemaman, Marang (144), Kuala Nerus (104), Kuala Terengganu (90), Setiu (32) dan Dungun (26).
“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memperuntukkan sebanyak RM1,403,600 (peruntukan persekutuan) dan RM1,500,000 (peruntukan negeri) bagi pengurusan pusat pemindahan dan lain-lain urusan persediaan bencana untuk Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Taklimat Khas Pasca Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2018/2019 di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiuasaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya
Menurutnya, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) merekodkan 59 bencana sepanjang tahun lalu dengan melibatkan 26 ribut, 23 banjir dan 10 kejadian kebakaran dengan jumlah mangsa seramai 39,382 orang.
"Di Terengganu sahaja, tujuh daerah terkesan akibat banjir melibatkan 3,219 mangsa dan sebanyak 47 buah pusat pemindahan diaktifkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!