‘Belum tahu akan bertanding di mana’
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau telah bertanding di pelbagai tempat sejak tahun 1982 lagi.
Beliau berkata, antara lawan yang pernah ditandinginya semasa dalam pilihan raya adalah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas.
Mat Sabu juga pernah menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1986 ketika Anwar mewakili UMNO.
Ikuti wawancara bersama Mohamad yang dikendalikan wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid, Mukhriz Mat Husin dan Hisyamuddin Ayub di Kota Raja baru-baru ini.
SINAR AHAD: Kes keseluruhan Covid-19 pada hari ini telah mencecah angka setengah juta, manakala kes yang sedang dirawat pula adalah 60,000. Pada pandangan YB, adakah kerajaan gagal dalam mengawal pandemik Covid-19?
Mohamad: Saya meletakkan kegagalan ini kepada semua iaitu kerajaan dan rakyat jelata. Tetapi orang ramai pula terkeliru dengan arahan ‘flip flop’. Sebagai contoh, kita kena mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.
Apabila saya naik feri ke Langkawi, semasa beratur hendak masuk ada penjarakan, tetapi bila dalam feri, orang Kedah kata jadi ‘bergenuak’. Lebih dua jam setengah dalam keadaan yang begitu padat dengan orang. Jadi di mana penjarakan yang dimaksudkan tadi? Kita juga melihat rakyat begitu keliru.
Kita dapat melihat sendiri pasar raya dilimpahi ribuan pengunjung menjelang hari raya. Sama ada di tingkat bawah atau di tingkat atas, memang ramai.
Namun Parlimen yang boleh menempatkan 200 orang, tetapi ahli Parlimen tidak boleh berada di Parlimen. Jadi seluruh arahan kerajaan ini dilihat celaru, sekali gus membuatkan rakyat menjadi keliru dan ini adalah satu kegagalan kerajaan. Kerajaan menjadi celaru dengan arahan yang tidak tentu.
Kita lihat pada masa ini di negara luar yang lain, ia menunjukkan kadar kes sedang menurun terutama di Eropah, tetapi apabila kita melihat situasi di negara ini, angka Covid-19 menjadi semakin meningkat. Semua ini akibat arahan yang tidak menentu, seterusnya menjadikan rakyat keliru.
Adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah merupakan titik permulaan kes Covid-19 meningkat di Malaysia. Adakah YB bersetuju?
Di antara salah satu punca, tetapi bukan satu-satunya punca. Peningkatan ini juga terjadi termasuklah kerana kegagalan mengawal pintu masuk ke Malaysia seperti melalui lapangan terbang dan sebagainya.
Jadi bagaimana mahu membuat PRN lain termasuk di Sarawak?
PRN boleh diadakan. Lihat bagaimana Singapura boleh adakan pilihan raya baru-baru ini. Syria yang mana keadaan politiknya agak kucar- kacir, ditambah perang yang masih belum selesai sepenuhnya, tetapi rakyatnya boleh keluar mengundi sebanyak 78 peratus.
Dalam keadaan negara yang sebegitu rupa, tetapi pilihan raya boleh diadakan. Alasan pilihan raya yang tidak boleh diadakan di negara ini, bagi saya ia adalah alasan sahajalah. Kita masih boleh buat peraturan, cara mengundi dan banyak lagi cara boleh dibuat.
Beberapa negara lain boleh buat pilihan raya contoh terdekat negara jiran, Singapura. Tidak ada pula berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas pilihan raya tersebut dilakukan. Kita lihat Syria yang tidak sama dengan Malaysia pun boleh.
Bagaimana mereka boleh buat pilihan raya untuk memilih presiden yang berlaku pada minggu lepas?
Jika darurat, adakah masih boleh dilaksanakan pilihan raya?
Dari awal saya sebutkan bahawa ini darurat Muhyiddin dan bukan darurat rakyat. Perkara ini saya tidak mahu ulas panjang. Sudah banyak kali saya bercakap perkara ini. Darurat ini dia merasakan untuk dia terus memerintah. Sepatutnya diserahkan semula mandat kepada rakyat. Tetapi masalah paling besar setelah kita bina negara ini iaitu sebelum merdeka dengan sistem demokrasi berparlimen, telah hancur pada tahun 2020.
Sekarang ini bukan senang untuk generasi muda kita hendak yakin semula pada sistem yang telah kita pilih (gunakan) sejak sebelum merdeka. Ia telah dihancurkan pada tahun 2020.
Bukan soal siapa layak memerintah atau siapa yang tidak layak memerintah, tetapi soalnya adalah tindakan menghancurkan sistem sedia ada.
Amat sukar untuk kita bina dan beri keyakinan semula kepada rakyat, khasnya generasi muda. Saya tidak tahu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, bagaimana peratusan keluar mengundi akan berlaku?
Oleh kerana berlakunya pertukaran kerajaan tanpa melalui pilihan raya, kekecewaan rakyat begitu tinggi sekali. Sistem demokrasi berparlimen itu telah dihancurkan dalam Langkah Sheraton.
Sementara Parlimen yang sehingga ini masih belum dibuka, apa pilihan yang ada buat PH pada masa sekarang?
Sekarang ini, kita hanya bersuara secara dalam alam maya (media sosial). Misalnya, yang baru-baru ini berhubung teguran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila dia tidak berpuas hati tentang hutang negara yang begitu banyak.
Betul atau tidak dakwaan itu, kita pun tidak tahu dan yang menjawabnya juga adalah seorang Menteri Kewangan. Dia juga menjawab dakwaan itu dengan menggunakan media maya.
Jadi Parlimen kita yang ada itu biarlah kita jadikan sebagai tempat memelihara burung sajalah. Senang. Tambahan dah naik ‘berlumut’ sekarang ini.
Atau Parlimen dijadikan tempat orang-orang yang kena kuarantin dan diletakkan dalam bilik Parlimen itu. Jadi Parlimen sudah tidak berguna lagi dah.
Semua debat dalam media maya. Tetapi media maya ini, kita bukan boleh hendak bersoal jawab. Untuk itu, kerajaan yang sedia ada ini walaupun mereka ‘back door government’, mereka kena bertanggungjawab.
Di United Kingdom (UK) semasa kemuncak virus korona ini berlaku, Parlimen mereka dilihat semakin kerap bersidang. Ini kerana perdana menteri mereka kena menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen dan mencari jalan penyelesaian yang akan dibuat kepada rakyat.
Bukannya bertindak menangguhkan sidang Parlimen. Begitu juga dengan Kongres Amerika Syarikat (AS) yang tetap berjalan, walaupun di negara itu yang paling dahsyat ditimpa wabak virus ini.
Kes kematian di AS sudah mencapai lebih setengah juta dan puluhan juta rakyatnya terbabit, tetapi Kongres AS tetap berjalan kerana presiden atau ahli-ahli Kongres kena beri penjelasan kepada rakyat. Terutama melibatkan langkah-langkah yang mahu diambil secara yang lebih jitu.
Sekarang ini, hanya media maya sahaja di negara ini. Jadinya, Parlimen yang begitu mahal dan baik setelah diberi pelbagai kemudahan, dilihat seakan sudah tidak berguna. Lebih baik diletakkan orang-orang yang kena Covid-19 di situ.
Baru-baru ini ada desas-desus UMNO ingin bekerjasama dengan PH. Adakah Amanah akan menerima UMNO?
Jika dengan parti (UMNO), saya tidak tahu. Tetapi perbincangan dengan mana-mana pihak individu, ia tidak menjadi masalah.
Kita boleh bincang dan keputusan boleh diambil bersama. Soal PH untuk bekerjasama dengan UMNO belum ada keputusan. Sekiranya saya bersetuju dengan Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung seruan dia untuk meminta sidang Parlimen dibuka, namun itu bukan bermaksud saya bersetuju dengan UMNO. Jika ada individu dari UMNO yang mahu berbincang dengan kita (Amanah), memang kita alu-alukan kehadirannya.
Sekiranya PH sekali lagi dipilih oleh rakyat, apakah perubahan pertama akan YB lakukan?
Apa yang kita janji itu, kita cuba tepati. Masalahnya yang berlaku sekarang ini, misalnya PH, kami (Amanah) dipanggil penyokong DAP. Orang Melayu akan terhakis, agama Islam akan terancam. Itu yang dimainkan dalam kempen.
Bagi saya tidak apa. Kempenlah. Datang pilihan raya 2023 biarlah rakyat menentukan sama ada kami kalah atau tidak. Terimalah. Itu keputusan rakyat.
Masalahnya kamu (PN) telah berkempen begitu kuat, kenapa ambil melalui Langkah Sheraton kenapa tidak boleh tunggu pilihan raya.
Mereka sudah menang di Cameron Highlands dan Tanjung Piai, kenapa tidak terus bekerja supaya menang di PRU. Kamu boleh menang dengan secara mutlak. Jadi rakyat boleh terima. Sekarang apabila berlaku Langkah Sheraton, ini yang jadi masalah.
Saya tidak kisah kalau mereka kata kami penyokong DAP, penyebab Islam terancam dan sebagainya. Kami akan menjawab (dakwaan tersebut).
Itu yang kami rancang untuk bekerja selama lima tahun, bukan untuk 22 bulan. Jadi kita kerja lima tahun, kemudian rakyat boleh menilai. Kalaulah rakyat memilih mereka, tiada masalah. Saya sendiri bertanding di Parlimen sebanyak sembilan kali. Lima kali kalah, empat kali menang. Bila kalah, kita lawan sebagai pembangkang. Kalau tidak puas hati dengan cara PRU, kita buat perhimpunan Bersih, aduan polis atau kita pergi ke mahkamah. Ini cara bertamadun. Bukan dengan membeli wakil-wakil rakyat, kemudian menabur pelbagai janji dan sebagainya, akhirnya jadi seperti kes Prasarana.
Itu salah satu contoh, sebab apabila tempat yang perlu diletakkan orang profesional tetapi mereka (kerajaan kata) tidak boleh kerana nak menempatkan wakil-wakil rakyat yang menyokong mereka. Ini yang menjadi masalah, bukan kami memerintah baik atau tidak.
Baik atau tidak, sistem kita lima tahun, rakyat tentukan. Kalau kami menang lagi, maka kami menanglah. Kalau kalah kami terima. Itu caranya.
Saya sebagai orang lama dalam politik Malaysia, biasa jadi pembangkang, masuk penjara dan masuk lokap dalam memperjuangkan demokrasi. Apa yang berlaku ini saya tidak boleh terima. Ini menghancurkan negara kita kalau dibiarkan berterusan. Misalnya, pelabur-pelabur asing yang nak datang ke Malaysia, mereka jadi tidak yakin.
Kalau ekonomi negara kita makin teruk, rakyat kita yang akan susah. Sekarang pun sudah susah. Bila orang lari, banyak pelabur-pelabur besar pergi ke Vietnam dan Indonesia. Sebab sistem di negara kita dilihat tidak lagi stabil.
Apa nak jadi pada rakyat? Dulu lulusan universiti kejuruteraan pada 10 tahun dahulu bekerja dengan gaji RM4,000 hingga RM5,000, sekarang ada yang kerja dengan gaji RM1,800 dan RM2,000.
Ini yang menjadi masalah apabila politik tidak menentu. Sebab itu, sistem perosak ini saya cukup marah. Saya masuk lokap dan penjara berkali-kali di antaranya kerana mahu memperjuangkan sistem demokrasi yang lebih baik. Tiba-tiba bila sudah membuat perubahan semua, berlaku rampasan kuasa seperti ini.
Dengan isu yang dihadapi PN ini, adakah YB yakin PH dapat menakluk Putrajaya pada PRU15?
Kalau tanya orang bertanding, bila-bila mereka akan beritahu mereka akan menang. Itu terserahlah kepada wartawan dan media semua, tetapi umumnya kita boleh melihat rakyat tidak berpuas hati sekarang ini.
Seperti yang berlaku di negara China, apabila ‘lockdown’, mereka lakukannya bersungguh-sungguh. Atas jalan raya hanya ada ambulans dan kereta polis.
Adakah YB akan pertahankan kerusi sekarang ini?
Itu bergantung kepada keputusan mesyuarat Amanah dan PH sebab saya dari segi bertanding ini pelbagai tempat. Saya bertanding di Kepala Batas berlawan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Permatang Pauh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim; bertanding di Nilam Puri, Kubang Kerian, Kuala Kedah, Kuala Terengganu dan Kota Raja. Jadi pada pilihan raya akan datang, saya tidak tahu lagi, parti mencadangkan untuk letakkan saya di mana.
Kerajaan PH jatuh ketika Dr Mahathir melepaskan jawatan akibat hilang sokongan ahli Parlimen. Adakah Amanah akan kembali bekerjasama dengan parti Dr Mahathir?
Kita bekerjasama dengan sesiapa tetapi sekarang keputusan pada PH. PH sudah membuat keputusan kalau kita dapat ambil alih kuasa, perdana menterinya ialah Anwar Ibrahim. Mengenai kerjasama daripada sesiapa pun, itu boleh dibincangkan dari semasa ke semasa.
Kerajaan bagaimana YB jangkakan pada pasca PRU15 nanti?
Sesetengah orang berpandangan pilihan raya akan datang ini akan menjadi ‘hung parliament’ (Parlimen tergantung) ertinya sesiapapun tidak cukup majoriti. Itu pandangan-pandangan penganalisa sekarang. Penganalisa ini kadang-kadang kita boleh ambil pandangan mereka. Kita kena bersedia supaya jangan jadi ‘hung parliament’ supaya kita dapat menang dengan majoriti yang cukup.
Apabila berlakunya ‘hung’ ini ertinya dia kena membuat gabungan dengan orang lain. Misalnya PH, kalau kami menang 130 atau 120 tidak ada masalah. Tiba-tiba kita menang 100 kerusi contohnya, lawan PN pun tidak cukup, jadi kena bincang segera untuk membuat kerajaan pada waktu itu.Tetapi saya yakin PH akan cukup insya-ALLAH. Sebab sekarang ini kami tidak sekuat mana, tetapi rakyat benci kepada PN itu begitu tinggi.
Adakah PH mampu menang tanpa Dr Mahathir sedangkan ramai berpandangan kemenangan PH disebabkan beliau?
Disebabkan beberapa faktor. Terbesar sekali 1Malaysia Development Berhad (1MDB), masalah rasuah dan korupsi. Kali ini pun Dr Mahathir ada, tetapi pilihan raya akan datang tidak tahu dia ada (bertanding) atau tidak tetapi kita yakin rakyat sekarang ini memang gelisah dengan pemerintah yang ada.
Saya kata tadi walaupun kami dilihat tidak seberapa kuat kerana kita tidak dapat bergerak sekarang ini, sudah setahun. Bang Mat tidak dapat dipisahkan dengan ceramah (gelak). Jadi insya-ALLAH rakyat akan terjemahkan tidak suka itu melalui pilihan raya. Itu pandangan saya, kalau yang lain mengatakan mereka akan menang besar itu hak mereka.
ANEKDOT
Suka menjala ikan dan memasak
Saya suka menjala ikan dan waktu lapang kadang-kadang kalau kawan-kawan datang ke rumah saya cuba memasak. Goreng ikan, rebus pucuk ubi. Orang kata saya pandai memasak, tidak. Sebenarnya saya memasak dalam Kem Kamunting. Kem Kamunting bukan ada restoran lain. Jadi bila kita memasak dia (rakan lain) kena makan yang itu sahaja. Itu dia kata sedap.
Ada besi dalam lutut sehingga ke hari ini
Setiap kali demonstrasi Bersih saya dilantik menjadi ketua sehingga saya dilanggar oleh polis di lutut semasa menaiki motosikal. Ada besi di dalam lutut sehingga ke hari ini sebagai tanda. Dibedah di KPJ dan dimasukkan besi serta tidak dibuang. Saya berbangga kerana akhirnya perjuangan itu didengari oleh pemerintah dan apabila kita memerintah sendiri, kita cuba lagi (penambahbaikan) seperti mandatori terhadap orang yang disabitkan dalam kesalahan mengedar dadah.
Kita sedang berusaha supaya ia dijadikan bukan mandatori iaitu hakim yang akan menentukan mengikut hujah-hujah. Tetapi kerajaan kita sudah jatuh. Ertinya bila kita berjuang dalam manifesto itu kita cuba laksanakan satu demi satu untuk bawa kepada generasi akan datang lebih bersikap demokratik.
Sudah biasa masuk lokap
Masa itu muda lagi. Kena tangkap pada permulaan umur belum sampai 20 tahun semasa di Institut Teknologi Mara ITM (Kini Universiti Teknologi Mara UiTM). Kesnya demonstrasi ITM. Selepas kita masuk lokap banyak kali, sudah menjadi biasa.
Sesetengah orang masuk lokap ini tahu-tahulah tidur atas simen. Kita ini orang susah dan miskin bila kita masuk lokap dia beri ikan seketul beserta kuah dan nasi saya makan habis (ketawa), tidak menjadi masalah.
Tetapi memang ada yang tidak kena dahulu apabila kami ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tengok ikan yang diberi itu tidak bermutu dan kemudian kita membuat mogok lapar. Kita berpuasa dan yang bukan Islam mogok lapar.
Selepas itu tindakan Kementerian Dalam Negeri tanpa menambah peruntukan makanan menjadi elok. Ertinya ada penyelewengan di situ. Saya tidak tahu makanan di dalam lokap sekarang ini sama ada ikut standard atau tidak sebab saya tidak masuk agak lama (ketawa), tidak tahu akan datang nak masuk pula. Tidak rasanya, insya-ALLAH. Umur sudah makin lanjut.
PROFIL
Mohamad Sabu
Umur: 67
Asal: Pulau Pinang
Jawatan
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah)
Ahli Parlimen Kota Raja
Bekas Menteri Pertahanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!