Agihan komputer riba, data percuma dijangka selesai September
KUALA LUMPUR - Pengagihan sejumlah 150,000 unit komputer riba, peranti dan sambungan data percuma kepada murid golongan B40 untuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijangka selesai pada September depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sehingga kini sebanyak 12,887 komputer riba dan sambungan data telah diagihkan kepada murid yang layak manakala 40,290 akan diagihkan selewat lewatnya pada 12 Jun 2021.
"Bakinya, 96,823 unit pula selesai pada akhir September 2021,” katanya dalam Sidang Media Khas secara maya pada Ahad.
Kata beliau, pengagihan inisiatif tersebut berdepan cabaran khususnya dalam aspek bekalan menyebabkan penyusunannya dilakukan agak berbeza.
“Alhamdulilah, akhirnya kita telah mula agih peranti ini dan akan terus diagihkan. Kita ikhtiar pada akhir September semuanya dapat diagih kepada murid B40 yang dipilih,” kata beliau.
Pengagihan peranti percuma itu adalah di bawah program Cerdik iaitu inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.
Bagaimanapun pelbagai pihak terus membangkitkan rasa tidak senang dengan perkembangan status pelaksanaan inisiatif tersebut yang disifatkan amat perlahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!