Peniaga didenda lastik kereta bekas isteri guna bola besi

Tertuduh dikawal ketat polis ketika keluar dari bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu menuju ke lokap.
Tertuduh dikawal ketat polis ketika keluar dari bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu menuju ke lokap.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai makan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad kerana melastik kereta bekas isteri dengan menggunakan bola besi dan tindakan itu dilakukan dipercayai akibat dihalang bertemu dengan anaknya pada Ahad lalu.

Tertuduh, Edy Syu’aib Mohd Suhaimi, 36, dihukum selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri turut menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan sekirannya tertuduh gagal menjelaskan denda bagaimanapun denda itu dijelaskan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan melastik sebiji bola besi ke arah kereta jenis Kia Rio milik bekas isterinya yang berusia 36 tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan Tapang di sini pada jam 7.30 petang, 30 Mei lalu.

Perbuatannya itu telah menyebabkan cermin belakang sebelah kanan penumpang kereta terbabit berlubang dan retak sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM200.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan menjaga kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Roshayati bagaimanapun merayu bagi pihak anak guamnya supaya hukuman diringankan kerana perbuatan dilakukan selepas tertuduh dihalang untuk bertemu empat orang anaknya.

“Sebelum kejadian, berlaku sedikit pertelingkahan antara mereka apabila bekas isteri dipercayai tidak membenarkan tertuduh bertemu anak-anaknya.

“Tertuduh juga hanya peniaga yang membuka kedai makan bersama ibunya selain menghidap penyakit migrain yang teruk dan sering mendapat rawatan di hospital,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tembak kereta bekas isteri ditahan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menembak kereta dipandu bekas isterinya di Kampung Lorong Bayam Pinggir, Tapang di sini pada Ahad lalu.

Wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya bersama tiga anak yang berusia 13, lima dan tiga tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!