Tidak mampu bertahan, Coliseum Cafe kini ditutup
KUALA LUMPUR - Restoran ikonik Kuala Lumpur, Coliseum Cafe yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak sempat meraikan ulang tahunnya ke-100 tahun ini.
Menurut laporan Malaysian Insight, kafe yang beroperasi sejak 1921 itu tidak akan diteruskan selepas tempoh sewaan di bangunan tersebut tamat.
Pengurus Bahagian Pemasaran Francais, Azrain Azman dilaporkan berkata, kafe tersebut antara yang terkesan sejak pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
"Benar, keputusan itu adalah yang terbaik. Kami sedih tidak dapat menyambut ulang tahun yang ke-100.
"Kami tidak dapat bertahan sejak pada awal PKP lagi. Kami hanya bergantung kepada pelanggan yang 'dine-in' dan disebabkan PKP pelanggan tetap tidak dapat datang ke kafe," katanya seperti dilaporkan Malaysian Insight.
Restoran ikonik dilengkapi perabot antik itu, popular dengan masakan gaya barat Hainan dan nostalgia era kolonial sejak 1921.
Kali terakhir kafe tersebut dibuka pada Mac tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!