Sampel lembu disyaki dijangkiti LSD dihantar ke makmal
BATU KURAU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah mengambil sampel lembu dari sebuah ladang di Simpang Pulai, Ipoh, untuk diuji di makmal selepas ternakan di ladang berkenaan disyaki dijangkiti penyakit kulit kental /berbonjol (LSD).
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian dan setakat ini tiada lembu yang dilupuskan kerana penyakit itu.
“Kita sudah ambil sampel untuk dibawa ke makmal namun kita belum mendapat pengesahan mengenai penyakit LSD,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) di Kampung Bawah Gunung, Kampung Perak dekat sini pada Ahad.
Awal bulan ini, JPV Perak mengesan penularan penyakit LSD yang berlaku di beberapa negara Asia sebelum ini, telah menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di ladang berkenaan.
Beberapa negara dilaporkan telah mengesan penularan penyakit LSD yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau sejak 2019 antaranya Bangladesh (Julai 2019), India (Ogos 2019), China (Ogos 2019), Bhutan (Oktober 2020), Hong Kong (November 2020), Sri Lanka (Januari 2021) dan terbaharu di Thailand (April 2021).
Dalam perkembangan lain, Razman berkata, kerajaan negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang berusaha mengatasi masalah hasil pertanian seperti pisang yang tidak dapat dipasarkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Beliau berkata, lebih 200 hingga 300 pekebun yang mengusahakan tanaman pisang di sini tidak dapat memasarkan hasil tanaman itu kerana pemborong dari negeri lain tidak dapat membeli dengan kuantiti yang banyak.
“Kerajaan negeri sedang berunding dengan FAMA untuk mendaftarkan pekebun yang terkesan dengan tanaman itu bagi membantu memasarkan pisang pekebun terbabit,” katanya.
Razman berkata, pekebun pisang di sini terpaksa mengehadkan bekalan dengan tidak menebang pisang yang sudah boleh dituai kerana pemborong di luar dan di sini turut membeli dalam kuantiti yang kecil.
Sehubungan itu, beliau meminta para pekebun agar memaklumkan kepada FAMA dalam tempoh seminggu bagi membolehkan FAMA membantu mereka memasarkan hasil pertanian itu.
Sementara itu, Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, Perak mengeluarkan 33,000 tan metrik pisang bernilai RM50 juta setahun dan lambakan pisang berlaku di seluruh negara kerana permintaan yang menguncup di pasaran disebabkan hasil tidak terjual terutama di pasar malam.
“Kita minta pekebun yang tidak daftar dengan FAMA supaya mendaftar segera kerana kita bantu memasarkan hasil pertanian pekebun di negeri ini atau di luar Perak,” katanya.
Seorang pekebun pisang, Ilyas Mohd Nasib, 53, yang mengusahakan dua hektar tanaman pisang jenis berangan, emas, nangka dan tanduk terpaksa mengurangkan bekalan pisang kerana permintaan berkurangan walaupun ladangnya boleh mengeluarkan hasil antara 500 hingga 600 kilogram pisang dalam tempoh seminggu.
"Saya juga menjadi peraih untuk membeli pisang daripada pekebun lain di sini dalam kuantiti yang kecil bagi mengelak mengalami kerugian. Selain menanam pisang, saya juga menjadi peraih buah-buahan seperti durian,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!