Ka Siong bidas Guan Eng tuduh feri tidak diselenggara
SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa keadaan feri ikonik Pulau Pinang menjadi semakin teruk selepas ditamatkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ka Siong berkata, feri ikonik itu telah dihantar ke Limbungan Bagan Dalam bersebelahan dengan Sungai Perai pada 27 November 2019 kerana berada dalam keadaan usang.
“Pengendali perkhidmatan pada masa itu ialah RapidFerry iaitu sebuah anak syarikat Prasarana.
“Alat-alat ganti yang diperbuat di Belanda pula tidak diperoleh. Maka feri ini tidak dapat beroperasi sejak 27 November 2019 dan berada di situ sehinggalah ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ka Siong menyifatkan Guan Eng sebagai mudah lupa bahawa beliau merupakan Menteri Kewangan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu.
“Tumpang tanya Guan Eng, pada 27 November 2019, siapa Menteri Kewangan pada masa itu? Prasarana adalah sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Ingat tak pada hujung tahun 2019, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM30juta kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk tujuan pembelian Catamaran baharu serta mengambil alih perkhidmatan ini daripada RapidFerry milik Prasarana,” ujarnya.
Jelasnya, peruntukan yang diumumkan itu tidak disenaraikan dalam Belanjawan 2020.
“Kalau marah dan persoal kenapa tak membeli alat ganti untuk membaiki Feri Pulau Pinang ini dan seterusnya beroperasi, sepatutnya Guan Eng tanya diri sendiri kerana pada masa itu dia begitu ‘powerful’ dan saya bukan Menteri Pengangkutan, saya hanya ahli Parlimen pembangkang sahaja,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau turut menghargai usaha Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kerana sentiasa berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mencari jalan penyelesaian pragmatik terhadap permasalahan khusus di negeri tersebut.
Menurut beliau, Kon Yeow sendiri turun padang menaiki feri bot laju pada 30 Disember tahun lepas bersama dengan kakitangan pelabuhan sebelum perkhidmatan feri mula diambil alih oleh pada awal Januari lalu.
“Pada 24 Disember 2020, pihak Prasarana yang dimiliki oleh kerajaan Pusat telah menulis surat kepada Exco Pengangkutan Kerajaan Pulau Pinang untuk menawarkan enam buah feri sama ada beroperasi atau tidak secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang.
“Namun, kerajaan negeri pada 18 Januari 2021 telah bersetuju dan sudi menerima hanya sebuah feri saja. MOT terbuka dan menerima keputusan kerajaan negeri. Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada ketua menteri,” katanya.
Pada Sabtu, Guan Eng mendakwa keadaan feri ikonik Pulau Pinang semakin teruk selepas perkhidmatan feri yang bersejarah itu dihentikan oleh kerajaan PN dan Ka Siong.
Guan Eng berkata, feri tersebut seharusnya masih beroperasi dan meneruskan warisan hampir 100 tahun sebaliknya mendapat layanan sebegitu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!