Kerajaan digesa serius beri vaksin kepada petugas media

Kelab Media Putrajaya
Kelab Media Putrajaya
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil serius usaha pemberian vaksin kepada petugas media bagi mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.

Kelab Media Putrajaya dalam satu kenyataan berkata, petugas media yang digelar ‘petugas barisan hadapan’ masih belum menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sudah memasuki fasa kedua.

“Sudah tentu ramai antara kami terutama yang bertugas di pusat pentadbiran negara berharap menjadi antara yang terawal menerima vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun sehingga akhir Mei tiada khabar berita mengenai pemberian vaksin kepada petugas media,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, tidak mustahil banyak acara diatur dalam bulan Syawal jika tidak berlakunya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Mungkin kedengaran mudah atau seperti kami melebih-lebih berbanding orang lain tetapi jangan lupa, kudrat dan kreativiti kami yang dituntut untuk melaporkan kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP), sentiasa kekal berada di rumah jika tiada urusan penting perlu diselesaikan di luar, kebaikan rakyat mendapatkan vaksinasi serta kepentingan mendapatkan imuniti kelompok.

“Sungguh malang jika petugas media yang terpaksa mengetepikan keselamatan diri ketika bertugas di lapangan terus menerus terpaksa menunggu dan merayu untuk diberikan vaksinasi sedangkan ia sudah dijanjikan kepada kami,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut, petugas media lebih terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 berbanding kebanyakan sektor kerana mereka perlu keluar menjalankan tugasan terutama jurugambar dan jurukamera.

Artikel Berkaitan:

“Jika seorang daripada kami dijangkiti, bukan sekadar satu pejabat terpaksa dikuarantin malah rakan sejawat daripada organisasi lain juga mungkin terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 serta kuarantin seperti yang berlaku dalam kalangan petugas media di Putrajaya, Johor Bahru dan beberapa tempat lagi,” tambahnya.

Pada Selasa, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi janji temu kepada lebih 5,000 petugas media daripada 144 agensi yang berdaftar di negara ini, untuk mendapatkan vaksin.

Menurut Khairy Jamaluddin, setakat ini pihaknya menerima 5,867 nama petugas media dan janji temu akan dikeluarkan secepat mungkin selepas mendapat butiran lengkap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!