Pemuda Pas rayu diskaun 20 peratus tarif elektrik bantu rakyat
SHAH ALAM - Pemuda Pas merayu supaya diskaun tarif elektrik sebanyak 20 peratus diberikan kepada rakyat di negara ini terutama sepanjang menjalani tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula 1 Jun lalu.
Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, diskaun tersebut melibatkan penggunaan elektrik di kediaman antara 301 hingga 600 kWj sebulan.
Menurutnya, sayap pemuda Pas turut menyarankan beberapa manfaat yang perlu diberikan kerajaan melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada rakyat sepanjang pelaksanaan sekatan tersebut.
“Antaranya ialah penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama untuk tempoh tiga bulan.
“Pembayaran ansuran bil elektrik dengan tempoh pembayaran yang lebih panjang, tanpa penalti atau surcaj lewat bayar untuk tempoh yang munasabah bagi TNB dan pengguna juga dapat meringankan beban rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam yakin diskaun tersebut dapat membantu rakyat dan mengukuhkan lagi kedudukan TNB dalam industri perbekalan elektrik negara.
Menurutnya, Pemuda Pas merayu TNB untuk mempertimbangkan saranan tersebut.
“Kami yakin TNB sangat memahami keresahan rakyat dan bersedia bersama-sama menghadapi saat sukar ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!