Hina nabi : Gesa kerajaan ambil tindakan tegas

Fahami Ashrof (empat, kanan) hadir ke Balai Polis Travers membuat laporan polis berhubung isu menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial Facebook.
Fahami Ashrof (empat, kanan) hadir ke Balai Polis Travers membuat laporan polis berhubung isu menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial Facebook.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Belia 4B Malaysia mendesak kerajaan mengambil tindakan serius terhadap individu yang mempersenda dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

Timbalan Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, perbuatan menghina institusi Islam dan Nabi Muhammad SAW adalah satu perkara yang amat melampau dan tidak boleh diterima.

Menurutnya, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam, pihaknya akan terus mempertahankan perlembagaan persekutuan dan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

"Apa yang kita lihat hari ini, terdapat individu yang mula bermain dan mempertikai agama lain. Perkara ini menggugat keharmonian agama dan kaum di dalam negara yang dibina dengan kebersamaan kita dulu.

"Kita mahukan agama di dalam negara terus dihormati. Kita tak mahu wujud cakap-cakap berunsur penghinaan mengatakan agama itu betul atau tidak dan sebagainya," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Travers, di sini, hari ini.

Laporan polis itu dibuat susulan muat naik di laman sosial Facebook yang menggunakan nama Foo Sing Wai dalam paparannya menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Siti Aishah.

Tegas beliau, laporan polis ini bertujuan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit tanpa mengira latar belakang menggunakan Akta Hasutan atau undang-undang negara yang termaktub.

"Kita rasakan perkara ini tidak boleh diambil mudah dan kita tuntut mendesak kerajaan mengheret siapa juga ekstremis agama untuk diambil tindakan tegas tanpa kira latar belakangnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Individu hina Nabi direman tiga hari

Hadir sama Exco Majlis Belia Malaysia, Mohamad Nazri Abdul Latif, Exco Majlis Belia Malaysia, Hazrul Hafizi Abdul Halim, Ketua Penerangan 4B Malaysia, Mohamed Haffiez Mansor Taridi, Majlis Kerja Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia, Sarina Mohd Firdaus

Semalam, Ketua Polis Negara,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki berusia 68 tahun yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Foo Sing Wai direman tiga hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!