Nafi konspirasi undi tak percaya Tun M: Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan spekulasi terdapat satu komplot untuk menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang usaha untuk menyahstabilkan dan mengalihkan tumpuan Kerajaan Pakatan Harapan untuk terus berkhidmat kepada rakyat, tidak akan berjaya.

“Mereka mencuba sedaya upaya untuk memecahbelahkan kami. Ia adalah permainan pembangkang untuk mengalihkan perhatian daripada isu dan ia tidak menjadi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu forum ‘Conflict of Interest: Analysis and Recommendation on Preventing Political Patronage and Corruption in Malaysia’, di sini hari ini.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata pakatan itu saling menghormati dan memahami isu berkaitan tadbir urus negara.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyangkal dakwaan dua parti komponen Pakatan Harapan merancang untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir, sementara Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin disebarkan pembangkang.

Dalam isu lain, Syed Saddiq berkata beliau tidak akan menarik balik laporan polis ke atas dakwaan serangan penyokong Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, Sabtu lepas.

“Kita kena berani kerana benar dan dalam bab ini saya membuat laporan yang benar,” katanya.

Berikutan isu itu, Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, 36, direman selama tiga hari sejak Isnin bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah dilaporkan berkata kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!