Israel tahan aktivis wanita Palestin dan kembarnya
BAITULMAQDIS - Polis Israel pada Ahad menahan dua aktivis Palestin yang menentang pengusiran penduduk Palestin yang tinggal di Sheikh Jarah, Baitulmaqdis Timur oleh rejim Zionis.
Salah seorang aktivis itu merupakan seorang wanita, Mona el Kurd berusia 23 tahun dan ditahan oleh anggota-anggota keselamatan Israel di rumahnya di daerah Baitulmaqdis Timur manakala saman turut dikeluarkan kepada kembar lelakinya, Muhammad.
Muhammad kemudian menyerah diri kepada pihak keselamatan Israel.
Polis Israel memberitahu AFP bahawa wanita itu disyaki terlibat dalam rusuhan-rusuhan dan beberapa insiden lain di Sheikh Jarah.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka telah dibebaskan dan kembali pulang ke rumah masing-masing, kata seorang wartawan AFP.
Ketika berada dalam tahanan, Mona diancam supaya dia menghentikan aktiviti-aktivitinya, kata peguam belanya Nasser Odeh.
Selepas dibebaskan, Mona memberitahu pemberita bahawa pembebasannya dilakukan tanpa syarat sebelum berkata, dia dilarang daripada menghubungi saudara kandungnya yang turut ditahan di tempat yang sama.
Bapanya, Nabil el Kurd berkata, mereka ditahan kerana menyuarakan penderitaaan yang dialami oleh penduduk Palestin di Sheikh Jarrah.
Katanya kepada portal berita The National melalui telefon, golongan muda di Baitulmaqdis menentang penjajahan Israel dan rejim Zionis tidak mampu untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin.
"Kami berjaya menewaskan mereka (Israel) dengan menggunakan media sosial dan media yang dikawal oleh mereka," katanya seperti dilaporkan oleh portal tersebut.
Muhammad kemudian dibebaskan dengan wang ikat jamin sebanyak 5,000 shekel (RM6,350) dengan syarat dia perlu hadir menemui pihak berkuasa jika dipanggil untuk berbuat demikian.
Ketika Mona dibebaskan, pasukan keselamatan Israel melepaskan tembakan peluru getah dan bom tangan gegaran bagi menyuraikan penunjuk-penunjuk perasaan Palestin di Baitulmaqdis Timur iaitu tempat dia bersama kembarnya itu ditahan.
Tunjuk perasaan di Sheikh Jarah merebak sejak bulan lalu sehingga ke pekarangan Masjid al-Aqsa menyebabkan pasukan keselamatan rejiom Zionis melakukan tindakan keras bagi menyuraikan protes tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!