Terkejut jumpa teman lelaki mati tergantung
BEAUFORT - Seorang wanita terkejut apabila menemui teman lelakinya dalam keadaan tergantung dan meninggal dunia di rumah sewa mereka di Jalan Beaufort Jaya, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob berkata, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu.
"Siasatan awal mendapati, kali terakhir lelaki berusia 20 tahun itu dilihat oleh teman wanitanya yang berusia 21 tahun pada jam 8.30 pagi ketika pulang dari kerja.
"Wanita itu kemudian pergi bekerja dan hanya menyedari kejadian itu selepas pulang kira-kira jam 2.30 petang tadi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya lagi, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.
"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!