Hospital swasta mula beri vaksin Covid-19 hari ini

Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di Bandaraya Ipoh mula beroperasi sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini bagi membantu mempercepatkan urusan vaksinasi di Perak. Foto Bernama
Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di Bandaraya Ipoh mula beroperasi sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini bagi membantu mempercepatkan urusan vaksinasi di Perak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa hospital swasta di dalam negara ini sudah mula memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam selepas kerajaan bersetuju hospital swasta digunakan sebagai pusat vaksinasi dalam fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Di PULAU PINANG, tiga hospital swasta memulakan operasi pemvaksinan mereka hari ini, iaitu Hospital Pantai Pulau Pinang, Hospital Lam Wah Ee (HLWE) dan KPJ Pulau Pinang dengan sasaran untuk memberikan suntikan vaksin kepada 500 penduduk negeri itu sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Dr Anas Alam Faizli berkata, lebih banyak lagi hospital dan doktor swasta yang berdaftar di bawah program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan beroperasi dalam masa akan datang.

“Kami percaya jika semua doktor dan hospital swasta di Pulau Pinang menyertai program vaksinasi PPV, kami boleh meningkatkan dan mencapai dos sasaran sehari yang ditetapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya kepada Bernama ketika meninjau PPV di Hospital Pantai di sini pada Isnin.

Beliau berkata, 12 hospital dan lebih 100 doktor swasta sudah berdaftar dengan ProtectHealth, pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam program imunisasi kebangsaan.

Di NEGERI SEMBILAN, Hospital Pakar CMH dipilih sebagai sebuah PPV di Seremban untuk memudah cara dan memastikan lebih banyak rakyat Malaysia menerima vaksin dengan matlamat mencapai kelompok imuniti terhadap Covid-19.

Presidennya, Datuk Lee Tian Hock dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, hospital itu akan memberikan suntikan 100 dos vaksin kepada mereka yang dalam senarai diberikan kerajaan pada masa ditetapkan di bawah bimbingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ProtectHealth.

Beliau berkata, Hospital Pakar CMH sebagai sebuah PPV yang diluluskan akan memastikan pemberian vaksin itu dilaksanakan berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan KKM menerusi aplikasi MySejahtera atau vaksincovid.gov.my.

Artikel Berkaitan:

“Penerima vaksin juga perlu mematuhi garis panduan dalam mendapatkan suntikan vaksin secara teratur dengan membawa bersama kad pengenalan, telefon pintar dan juga pen untuk mengisi borang,” katanya.

Sementara itu di PERAK, Pusat Perubatan Ar-Ridzuan di Bandaraya Ipoh mula beroperasi sebagai satu daripada PPV bagi membantu mempercepatkan urusan vaksinasi di Perak.

Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan Khairul Salleh Abdul Rani berkata, proses pemberian vaksin pada hari pertama melibatkan 50 orang penerima fasa kedua terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik bermula jam 9 pagi Isnin.

"Mereka menerima vaksin jenis Sinovac dan penerima yang diberikan suntikan vaksin di hospital ini memperoleh janji temu mengikut giliran menerusi aplikasi MySejahtera.

"Kami juga telah berikan suntikan vaksin kepada 67 pesakit yang menerima rawatan hemodialisis menerusi program khidmat masyarakat bersama KKM bermula 3 Mei lepas dan tiada kesan sampingan yang teruk dikesan pada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya turut bersedia untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan program khidmat masyarakat di kawasan-kawasan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli dalam usaha mencapai imunisasi kelompok.

Katanya, hospital itu mampu melakukan pemvaksinan ke atas 200 orang sehari dan meminta semua pihak supaya sentiasa menyemak janji temu pada aplikasi MySejahtera supaya tidak terlepas peluang mendapatkan vaksin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!