Dapur Rakyat usaha terbaik bantu rakyat

Muhammad Affendi
Muhammad Affendi
A
A
A

SHAH ALAM – Saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan mengadakan Dapur Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini adalah salah satu usaha terbaik bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusi Dewan Pemikir Bersatu Kebangsaan, Muhammad Affendi Mohd Dilif berkata, kerajaan boleh menggerakkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof untuk menggalas dan melaksanakan usaha berkenaan.

“Kami yakin APM mempunyai kelengkapan mencukupi melalui peralatan logistik yang berada di seluruh negara bagi melaksanakan Dapur Rakyat ini.

“APM boleh bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggunakan dapur masak di dewan makan asrama sekolah di seluruh Malaysia yang sememangnya bercuti dan tidak digunakan sekiranya perlu untuk menambahkan jumlah dapur,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muhammad Affendi menambah, kerajaan hanya memberikan peruntukan bekalan makanan mentah atau akses kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyumbang kepada program itu.

“Pihak APM, sukarelawan dan peniaga-peniaga kecil makanan yang berada di seluruh Malaysia boleh memasak secara berpusat dan makanan tersebut boleh dihantar terus ke rumah-rumah rakyat yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

“Kami yakin dengan cara ini akan lebih telus dan kosnya lebih murah serta memudahkan mereka yang menerima bantuan tersebut,” katanya.

Menurutnya, ada segelintir penerima bantuan tidak mampu untuk memasak barangan yang diberikan akibat beberapa kekangan yang mereka hadapi termasuk kos pembelian tong gas memasak.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu juga, program ini mampu membantu peniaga-peniaga makanan kecil membina ekonomi mereka semula setelah perniagaan mereka terjejas teruk sejak kebelakangan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M gesa laksana PKP penuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!