Anwar pertikai kerajaan tidak tingkat kadar ujian Covid-19
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah rasionalnya kerajaan tidak meningkatkan kadar ujian Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.
Anwar menerusi kenyataan di Facebook beliau pada Isnin turut menyoal adakah tindakan berkenaan untuk menutup kelemahan kerajaan membendung wabak Covid-19 ini dan hanya menunggu fasa vaksinasi besar-besaran yang akan bermula pada Julai atau Ogos ini.
“Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan untuk menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.
“Dengan pengujian besar-besaran kita akan mendapat gambaran sebenar tentang penularan wabak Covid-19, ambil langkah-langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang,” katanya di media sosial itu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, beliau telah menggesa sejak tahun lalu untuk meningkatkan keupayaan pengujian dan telah membangkitkannya kembali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Namun tidak ada respon dan tindakan pantas dari pihak berwajib. Ini secara tidak langsung menggambarkan langkah darurat hanya untuk menutup kelemahan kerajaan serta untuk mereka mengelak dari kebertanggungjawaban,” katanya.
Dakwanya, kerajaan juga terus berselirat dengan masalah untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang mengelirukan dan menyusahkan orang ramai.
“Sudah 15 bulan kita berdepan dengan ancaman wabak tapi kerajaan masih menggunakan taktik dan strategi lapuk yang ternyata gagal.
“Sentimen umum tentang kerajaan gagal adalah kesan langsung perencanaan yang tidak bijak dan mengelirukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!