Hampir 450,000 pekebun sawit untung

Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kenaikan harga minyak sawit menguntungkan hampir 450,000 pekebun kecil sawit sekali gus mengeluarkan mereka daripada status kemiskinan.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menerusi Facebooknya pada Isnin berkata, kesan kenaikan harga sawit yang ditanggung golongan M40 dan T20 itu juga mampu memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang sudah lama diabaikan.

Menurut beliau, hasil cukai daripada kenaikan minyak sawit dapat dinikmati semula oleh rakyat termasuk di Sabah dan dan Sarawak kerana kenaikan harga itu.

"Sebelum ini hampir 60 peratus rakyat M40 dan T20 menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat pekebun kecil yang berpendapatan kecil.

“Bagaimanapun pekebun kecil di kampung-kampung tidak cukup makan kerana harga sawit yang rendah ditambah dengan kos baja dan lainnya. Ramai pekebun kecil terpaksa membiarkan kebun sawit terbiar kerana kos kerja tidak setimpal dengan pendapatan,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan sudah membayar subsidi purata sebanyak 720,000 tan setahun untuk 12 juta rakyat miskin,

“Ia bukan hanya untuk 12 juta rakyat B40 malah dengan angka rakyat Malaysia yang mencecah 32 juta, setiap orang boleh menikmati 1.8 kilogram (kg) minyak sebulan pada harga subsidi.

“Minyak masak pek bersubsidi 1kg beredar di pasaran sekitar 720,000 tan manakala 19 juta tan lagi dipasarkan di pasaran antarabangsa menerusi eksport,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Khairuddin, kerajaan turut menikmati hasil cukai yang tinggi dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Bagaimanapun, menurut Khairuddin, hasil cukai tersebut dipulangkan kepada rakyat menerusi pelbagai kaedah antaranya Bantuan Prihatin sebanyak RM1,200 hingga RM1,800 setahun kepada keluarga B40 di samping bantuan lain.

“Kerajaan Sabah menikmati hasil cukai jualan hampir RM1 bilion pada tahun 2020 ekoran kenaikan harga minyak sawit. Untuk lima bulan pertama tahun ini dianggarkan kerajaan Sabah mendapat hampir RM500 juta.

“Justeru, kerajaan Malaysia dijangka menikmati levi cukai keuntungan luar biasa tahun ini iaitu lebih RM1 bilion,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!