Rakyat beli minyak masak pada harga eksport?
BERITA baik untuk negara ialah harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah paras tertinggi RM4,704 satu tan pada ketika ini.
Peningkatan harga komoditi itu berlaku ketika persekitaran inventori minyak tersebut di peringkat global yang rendah. Bagaimanapun, ia bukan berita baik buat pengguna di negara ini.
Ini kerana harga minyak masak yang dijual di pasaran turut menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini berpunca daripada peningkatan harga MSM. Bermakna harga eksport MSM itu digunakan di pasaran tempatan dan pengguna tempatan turut menanggung kenaikannya.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu tulisan pada Julai tahun lalu memberitahu, industri sawit mampu menghasilkan sekitar 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO) dengan nilai pasaran sekitar RM72 bilion setahun.
Industri utama negara itu menyumbang RM33 bilion hingga RM43 bilion atau lima hingga tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lapan tahun, walaupun ketika harga MSM di pasaran eksport tidak di paras yang tinggi.
Difahamkan berdasarkan data, 90 peratus hasil pengeluaran minyak sawit mentah negara adalah untuk tujuan eksport. Malangnya harga yang ditentukan untuk tujuan eksport itu tidak memberi manfaat kepada rakyat di negara ini.
Sepatutnya, kerajaan memberikan keistimewaan kepada jutaan rakyat di negara ini dengan memberikan harga yang berlainan bagi kegunaan domestik dan bukan pada harga eksport. Tidak salah untuk kerajaan memperkenalkan dua peringkat harga; satu untuk eksport dan satu untuk kegunaan pengguna tempatan.
Persoalannya, mengapa Malaysia sebagai negara pengeluar sawit terbesar dunia namun kita tidak sanggup memberikan harga yang lebih rendah kepada rakyat.
Harga eksport yang tinggi penting untuk meningkatkan pendapatan penanam sawit yang berjumlah tidak sampai satu juta, tetapi harga pengguna domestik yang rendah lebih utama kepada rakyat pengguna yang berjumlah 32 juta orang.
Sehubungan itu, kita harap harga minyak masak dapat dikawal demi kepentingan rakyat. Jangan sampai kita dituduh seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!