Perasuah hidup ‘terumbang-ambing’

Nurul Hidayah (gambar kecil) menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Rasuah Busters dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.
Nurul Hidayah (gambar kecil) menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Rasuah Busters dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah merupakan satu perbuatan melampau dan zalim kerana ia mengambil hak orang lain demi memenuhi tuntutan nafsu sendiri.

Pendakwah, Nurul Hidayah Kamarudin berkata, Islam menyifatkan rasuah sebagai satu perkara yang melampaui urusan agama kerana ia membuatkan individu terbabit memakan harta orang lain secara salah.

Malah, katanya, Islam telah menggariskan bahawa undang-undang kewangan seperti jual beli, wakaf, derma, pelaburan, sewa beli dan pinjaman untuk menghalang seseorang itu daripada mengambil harta orang lain secara haram.

“Apabila melakukan rasuah, pasti ada gantian atau manfaat yang diperoleh. Gantian atau manfaat ini bukanlah hak kepada diri pemberi dan penerima rasuah. Manfaat ini menyebabkan hilang atau kurangnya hak orang lain,” tegasnya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nurul Hidayah yang juga Eksekutif Kanan Zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPZ MAIWP) menegaskan, individu terbabit rasuah hidupnya pasti terumbang-ambing.

“Hak orang lain semua hilang dan institusi ekonomi juga tidak akan berkembang maju serta tidak boleh pergi jauh. Ini kerana keuntungan hanya berkisar pada pihak yang menawarkan rasuah,” ujarnya.

Keadaan inilah, menurut beliau yang akan menyebabkan diri pelaku rasuah, keluarga, masyarakat atau negaranya hilang rahmat ALLAH SWT.

Nurul Hidayah menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Rasuah Busters dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemerkasaan dalam pendidikan agama perlu dipergiatkan kerana hanya iman dan ketakwaan mampu menjadi benteng daripada menjadi perasuah.

“Kalau kita takutkan ALLAH SWT, kita tidak akan terjebak dalam aktiviti yang dilaknat ALLAH,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!